Israel bersedia menjalin hubungan dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Brunei, lapor akhbar The Jerusalem Post.
Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni, dalam temu bual dengan akhbar berkenaan, berkata peluang itu akan membolehkan regim Yahudi memperbetulkan banyak salah faham berhubung konflik Israel-Palestin.
Tiga negara dengan majoriti penduduk beragama Islam di Asia Tenggara itu mengecam serangan 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 250 warga Palestin bulan lalu.
Malaysia, Indonesia dan Brunei turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) campur tangan bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin.
Selama ini, tiga negara terbabit tidak mempunyai apa-apa pertalian rasmi dengan Israel dan berulang kali meminta penjajahan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat ditamatkan.
Karni berkata kritikan pemimpin tiga negara itu ‘tidak jujur’ dan tidak berasaskan keadaan sebenar konflik yang beliau sifatkan sebagai konfrontasi antara Israel dengan Hamas dan bukannya Israel terhadap semua warga Palestin.
“Hamas adalah sebuah pertubuhan anti-Yahudi dan saya tidak tahu berapa ramai individu di media sosial yang benar-benar faham betapa radikal dan fasisnya Hamas,” katanya.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mempunyai pengaruh besar ke atas apa yang berlaku di Asia Barat adalah dengan mewujudkan hubungan dengan Israel.
“Kami bersedia untuk berbincang dan bertemu, saya tidak fikir pemimpin negara terbabit sukar untuk menghubungi kami,” katanya.
Israel mempunyai kedutaan di negara lain di Asia seperti Vietnam, Thailand, Myanmar dan Filipina.
Empat negara Arab iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel di bawah perjanjian yang dikelolakan Amerika Syarikat (AS). – AGENSI
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]