Setiap kali anda melangkah ke pasar raya besar, anda pasti perasan tiupan angin kuat di bahagian atas pintu masuk.
Ramai yang mungkin berhenti seketika untuk merasakan angin tersebut sebelum melangkah masuk.
Namun, pernahkah anda terfikir, apakah tujuan sebenar angin ini?
Walaupun ia kelihatan seperti cara untuk menyejukkan badan, sebenarnya aliran angin ini mempunyai fungsi lebih penting daripada itu.
Memisahkan Suhu Panas dan Sejuk
Salah satu fungsi utama tiupan angin di pintu masuk adalah untuk memisahkan suhu di dalam dan di luar bangunan.
Dalam pusat membeli-belah, suhu di dalam biasanya dingin kerana penyaman udara, manakala suhu di luar boleh menjadi panas, terutama pada waktu tengah hari.
Aliran angin ini bertindak sebagai penghalang bagi memastikan suhu panas dari luar tidak masuk ke dalam bangunan. Ini membantu mengekalkan suhu dingin di dalam tanpa campuran suhu luar yang panas.
Menjimatkan Tenaga Elektrik
Dengan menghalang suhu panas daripada memasuki bangunan, aliran angin ini juga membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Jika suhu panas memasuki ruangan sejuk, penyaman udara perlu bekerja lebih keras untuk menyejukkan ruang tersebut, yang akan meningkatkan penggunaan elektrik.
Oleh itu, dengan adanya aliran angin ini, tenaga dapat dijimatkan dan kos penyelenggaraan bangunan dapat dikurangkan.
Menghalang Serangga
Selain itu, aliran angin kuat di pintu masuk juga berfungsi sebagai penghalang serangga. Angin yang bertiup dengan laju membuatkan serangga sukar untuk melintasi pintu tersebut, sekali gus meningkatkan keselesaan pengunjung.
Mengelakkan Pencemaran Udara
Aliran angin ini turut membantu mengekalkan kualiti udara bersih di dalam bangunan.
Ia menghalang pencemaran seperti asap kenderaan, habuk, dan kotoran daripada masuk ke dalam ruang bangunan, menjadikan persekitaran lebih sihat untuk pengunjung.
Jadi, angin di pintu masuk bangunan bukan sekadar menyejukkan badan, tetapi memainkan peranan penting dalam memastikan suhu, kebersihan, dan keselesaan di dalam bangunan terjaga.
BACA: Pernah tak terfikir, kemana perginya semua duit cukai yang kita bayar?