Indonesia umum henti import minyak dari Singapura. Dalam satu kenyataan yang mengejutkan ramai, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Indonesia, Bahlil Lahadalia, mengumumkan bahawa Indonesia merancang untuk menghentikan sepenuhnya import minyak bahan api (BBM) dari Singapura dalam tempoh enam bulan akan datang.
Sebaliknya, Indonesia akan beralih kepada negara-negara pengeluar minyak utama di Asia Barat sebagai sumber baharu bekalan tenaga negara itu.
“Kita Beli Minyak dari Negara yang Tak Ada Minyak” – Bahlil
Dalam sesi diskusi yang bertajuk “Arah Kebijakan Geostrategi dan Geopolitik Indonesia” anjuran Parti Golkar di Jakarta, Bahlil — yang juga Ketua Umum parti berkenaan — meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kebergantungan negaranya kepada Singapura bagi keperluan minyak walaupun negara itu bukan pengeluar minyak.
“Bayangkan, 54% daripada import BBM Indonesia datangnya dari Singapura. Tapi Singapura langsung tidak ada sumber minyak. Kita beli dari negara yang tidak hasilkan setitik pun minyak mentah,” ujar beliau dengan nada kesal.
Harga Sama Tapi Beli dari Negara Tanpa Sumber?
Menurut Bahlil, harga minyak dari Singapura tidak jauh beza dengan harga yang ditawarkan oleh negara-negara pengeluar minyak sebenar di Asia Barat. Justeru, kebergantungan ini dianggapnya tidak strategik dan memalukan.
“Lebih 34% daripada eksport BBM Singapura sebenarnya dihantar ke Indonesia. Harga pula hampir sama dengan negara pengeluar seperti Arab Saudi. Ini strategi yang memalukan,” tegasnya.
Perubahan Dasar Import: Beli Terus dari Asia Barat
Susulan ketidakpuasan tersebut, Indonesia akan menyusun semula dasar importnya, kata Bahlil. Beliau menegaskan bahawa langkah drastik ini adalah perlu demi memelihara maruah negara dan menjamin kedudukan strategik Indonesia dalam landskap geopolitik global.
“Saya dah putuskan. Dalam tempoh enam bulan, kita tidak akan beli lagi dari Singapura. Kita akan import secara langsung dari negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat. Itu jauh lebih bermaruah,” katanya.
Demi Masa Depan Energi Nasional
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Indonesia untuk mengukuhkan dasar tenaga negara, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga yang bukan pengeluar minyak. Dengan strategi baharu ini, Indonesia berharap dapat memperkukuh kedudukan dalam geopolitik rantau Asia Tenggara serta menjamin kelestarian tenaga untuk jangka panjang.
BACA JUGA :
10 negara dengan minyak termurah di dunia – Malaysia masuk dalam senarai?
Patutlah minyak paket tak cukup dipasaran, rupanya ini ceritanya
Meter minyak tak tepat punca kereta buatan China berhenti mengejut tengah highway