Indeks Ipsos 2026: Tahap Kebahagiaan Malaysia Atasi Purata Global

Oleh Hazril Abdul

PUTRAJAYA, 8 Apr – Tahap kebahagiaan rakyat Malaysia kini mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila melepasi purata global, berdasarkan laporan Indeks Kebahagiaan Ipsos 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Malaysia merekodkan skor 81 peratus dalam indeks tersebut, meningkat berbanding 76 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan dasar Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di tengah ketidaktentuan global.

“Ini menunjukkan usaha kerajaan dalam mensejahterakan rakyat mula membuahkan hasil. Kita akan terus memperkukuh pendekatan MADANI bagi melindungi rakyat daripada cabaran global,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut berkongsi beberapa pendekatan mudah untuk meningkatkan kebahagiaan dalam kehidupan seharian, termasuk mengamalkan sikap bersyukur, menghargai perkara kecil serta memupuk rasa cukup.

Beliau juga menekankan kepentingan mengekalkan pemikiran positif, menjauhi pengaruh negatif serta mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan rehat mencukupi.

10 Bandar Paling Bahagia 2026

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 10 bandar di seluruh negara menerima pengiktirafan sebagai Bandar Paling Bahagia 2026, dengan negeri Johor dan Terengganu mendominasi senarai.

Antara bandar yang tersenarai ialah:

  • Simpang Renggam
  • Kluang
  • Mersing
  • Kuala Terengganu
  • Marang
  • Permaisuri
  • Lipis
  • Raub
  • Dabong
  • Ranau

Nga berkata, pengukuran tahap kebahagiaan bandar di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, pendekatan itu memastikan penilaian yang lebih menyeluruh merangkumi kesejahteraan di peringkat nasional, negeri dan daerah.

Selain itu, sistem MURNInets turut digunakan bagi melengkapkan analisis dengan menilai pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran serta perkhidmatan bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya.