KUALA LUMPUR, 19 Dis – Penilaian positif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia membuktikan keberkesanan pengurusan fiskal negara yang berdisiplin serta kesungguhan kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dapatan IMF menunjukkan ekonomi Malaysia disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, kestabilan makroekonomi dan hala tuju dasar yang jelas dalam memperkukuh asas kewangan negara untuk jangka panjang.
Menurut beliau, pengiktirafan IMF terhadap pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta strategi kerajaan dalam mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat menandakan tahap disiplin fiskal yang tinggi dan komitmen berterusan terhadap pertumbuhan mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa kedudukan ekonomi negara kekal kukuh dengan kadar inflasi yang rendah, prestasi ringgit yang memberangsangkan, serta aliran pelaburan asing yang diluluskan mencatat paras tertinggi. Di samping itu, pelaksanaan inisiatif berorientasikan masa depan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 meletakkan Malaysia pada landasan yang baik untuk berdepan cabaran ekonomi global.
“Gabungan faktor ini membolehkan negara bukan sahaja mengurus ketidaktentuan global dengan lebih berdaya tahan, malah terus memacu pembangunan inklusif dan memperdalam integrasi serantau ASEAN,” katanya menerusi satu hantaran di LinkedIn hari ini.
Sementara itu, Ketua Misi IMF ke Malaysia, Masahiro Nozaki berkata, komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal berhemah jelas terbukti melalui kelulusan undang-undang fiskal utama pada 2023 serta kejayaan mengurangkan defisit secara konsisten sejak 2022.
Beliau memaklumkan bahawa IMF menyambut baik perancangan kerajaan untuk menurunkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2026, sebelum mencapai sasaran 3.0 peratus pada 2028.
Menurut Nozaki, usaha membina semula penampan fiskal kekal penting, khususnya melalui langkah meningkatkan hasil dan perbelanjaan yang lebih berkualiti dan mampan, memandangkan paras hutang kerajaan Persekutuan masih berada pada tahap 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, iaitu melebihi paras sebelum pandemik.
IMF turut mengalu-alukan inisiatif kerajaan memperkukuh ketelusan fiskal dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam, termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan yang baharu. Dari segi inflasi, kadar purata 1.4 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 dijangka kekal terkawal dan beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjang sekitar 2.0 peratus.
Dalam perkembangan sama, IMF menilai pendirian dasar monetari semasa Malaysia sebagai bersesuaian dengan keadaan ekonomi ketika ini.