Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), mengutuk keras serangan pembunuhan Ismail Haniyeh, ketua politik Hamas di Tehran pada 31 Julai lalu.
Pusat kajian itu dalam satu kenyataan berkata, pembunuhan Haniyeh merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan mencetuskan reaksi yang meluas di peringkat global.
“Walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab secara rasmi, banyak bukti menunjukkan bahawa rejim Zionis terlibat dalam insiden kejam ini.
“Tindakan Israel yang berulang kali menyerang pemimpin Palestin menunjukkan ketidakpedulian mereka terhadap norma antarabangsa dan proses diplomasi damai yang dicari oleh Haniyeh,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut IAIS, pembunuhan ini datang hanya beberapa bulan selepas kehilangan tragis tiga anak lelaki dan empat cucu beliau akibat serangan rejim Zionis.
Tambah mereka, sejak sepuluh bulan lalu, lebih 60 ahli keluarga dan saudara-mara Haniyeh telah dibunuh, menambah kesedihan keluarga tersebut.
“Israel diketahui telah mengarahkan operasi Mossad untuk menjejaki dan membunuh pemimpin Palestin di seluruh dunia.
Beberapa pemimpin Hamas, termasuk Fuad Shukr dari Hezbollah dan Saleh al-Arouri, turut menjadi mangsa dalam serangan ini,” tambah kenyataan itu lagi.
Ujarnya, meskipun Haniyeh berusaha gigih untuk mencari penyelesaian damai antara Hamas dan Fatah, tindakan brutal Israel jelas menunjukkan bahawa mereka tidak berminat dalam usaha perdamaian.
“Sejarah membuktikan bahawa walaupun pemimpin Palestin dibunuh, perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan dan keadilan tetap berterusan.
“IAIS Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel dan memastikan bahawa mereka dihadapkan ke muka pengadilan atas tindakan kejam ini,” tegasnya.