Anak tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama bapa biologinya berdasarkan daripada pandangan majoriti ulama atau jumhur.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak berkuasa agama di negeri-negeri Malaysia mengikuti pandangan jumhur ulama iaitu majoriti ulama yang menyatakan bahawa anak luar nikah tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya dan perlu dibin atau dibintikan kepada Abdullah.
“Ulama berbeza pandangan tentang adakah anak tak sah taraf boleh dibinkan kepada bapa biologinya. Ada beberapa orang ulama generasi awal dahulu (Tabi’in) yang mengharuskan anak sedemikian dinasabkan kepada bapa biologinya.”
Namun majoriti ulama berpandangan ia tidak diharuskan. Masing-masing bersandar kepada dalildalil naqli (bersumber al-Quran dan sunnah) dan aqli (akal) tertentu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, pelakon dan pengacara Myra Natasya mendedahkan bahawa dia sebenarnya adalah anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.
Tegas Wan Salim, dalam Islam, setiap anak yang dilahirkan berada dalam landasan semula jadi yang bersih daripada sebarang dosa (fitrah), termasuk anak zina atau anak tak sah taraf.
Namun begitu, beliau menekankan bahawa agama Islam melarang untuk membuka aib diri sendiri dan juga aib orang lain.
“Membuka aib sendiri adalah berdosa besar kerana ini bererti menjatuhkan maruah diri sendiri sedangkan ALLAH SWT mahu seseorang manusia memelihara maruahnya dan tidak mendedahkan keaiban ke pengetahuan orang lain,” jelasnya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hubungan antara anak luar nikah dengan bapa biologinya adalah seperti hubungan antara orang asing yang tidak mempunyai pertalian darah.
“Kalau anak itu perempuan, bapa biologi itu tidak boleh jadi wali pernikahan anaknya dan anak kena guna wali am atau raja selain si anak juga tidak tidak layak dapat harta pusaka si bapa.
“Kecuali jika bapa biologi nak beri semasa dia hidup dengan cara hibahkan harta kepada si anak,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar sesiapa yang menghadapi masalah sebegini supaya merujuk dan berjumpa dengan pihak yang berkaitan dan tidak mendedahkan masalah tersebut secara terbuka.
Baca:
”Siapa kita untuk..” Scha Alyahya beri pesanan ‘padu’ kepada mak cik bawang
Dah besar baru tahu trick sebenar lari dalam guni, lajunya dah macam lari biasa
Tak perlu berkejar ke mamak lagi jika mengidam ayam tandoori, buat sendiri di rumah lagi puas hati