Dalam Fasa Peralihan Monsun ketika ini, negara kita akan mengalami kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Banyak kawasan dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata iaitu daripada julat 100 mm hingga 500 mm pada Oktober ini.
Menjengah bulan November 2023, negara dijangka akan memasuki fasa Monsun Timur Laut yang membawa tiupan angin yang konsisten dari arah Laut China Selatan di antara 20 hingga 30 kilometer per jam.
Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, 9 Oktober.
Ketahui 10 fakta mengenai keadaan cuaca terkini negara kita:
1. Pada bulan Disember 2023, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima hujan pada purata antara 50 mm hingga 900 mm.
2. Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 250 mm hingga 600 mm. Di Sabah pula, kebanyakan kawasan diramal menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150 mm hingga 300 mm.
3. Masih terdapat kemungkinan negara akan mengalami peningkatan suhu sedikit lebih tinggi daripada biasa di beberapa lokasi.
4. Sekiranya tiada hujan melebihi tujuh hari, suhu meningkat antara 0.5 darjah Celcius (°C) hingga 1.0°C berdasarkan suhu maksimum purata antara 31°C hingga 33°C.
5. Alor Gajah di Melaka menjadi daerah paling lama mencatatkan hari tanpa hujan iaitu selama 15 hari setakat 9 Oktober.
6. Tampin di Negeri Sembilan yang terletak di utara Alor Gajah menjadi daerah kedua tidak mengalami hujan iaitu selama 14 hari sehingga 9 Oktober.
7. Di Sabah, Papar sudah lapan hari hujan tidak turun setakat 9 Oktober sekaligus menjadi daerah paling lama tidak mengalami hujan.
8. Segamat, Tangkak dan Muar merekodkan cuaca paling panas di Malaysia setakat petang 9 Oktober. Tiga daerah di Johor ini berstatus kuning iaitu Tahap 1 (berjaga-jaga) iaitu suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari.
9. Pada 9 Oktober, suhu tertinggi di KLIA dicatatkan pada pukul 2 petang iaitu 33.5 darjah Celcius manakala di Tanah Tinggi Cameron pada pukul 1 petang iaitu 22.6 darjah Celcius.
10. Ramalan cuaca bagi 28 pusat peranginan di seluruh negara secara terperinci merangkumi pagi, petang dan malam bagi tempoh seminggu boleh diakses di laman web rasmi Jabatan Meteorologi.
Baca:
CCTV boleh tengok dari rumah, Imam berjaya patahkan percubaan curi speaker masjid
Gaza dibom tanpa henti, setiap rakyat Palestin jadi sasaran, ini 10 fakta terkini wajib tahu
Lega isteri selamat bersalin ketika bom hujani Gaza tetapi balik rumah, ini pula yang terjadi