Bukit Melaka dalam Sulalatus Salatin
Melaka adalah sebuah negeri yang mempunyai bukit-bukit kecil. Antaranya Bukit Sejuang, Bukit Baru, Bukit Beruang, Bukit Katil, Bukit China, Bukit Peringit, Bukit Lintang, Bukit Batu dan lain-lain lagi. Ini menjadikan Melaka sebagai tempat yang paling strategik pada masa dahulu sebagai bandar pelabuhan dan kota pertahanan. Salah satu bukit yang terkenal ialah Bukit Melaka.
Nama Bukit Melaka dicatatkan dalam buku Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Tun Seri Lanang pada 1612. Walaupun hanya sekali sahaja nama Bukit Melaka disebut dalam buku tersebut iaitu dalam mukasurat 174 edisi A. Samad Ahmad (2003), namun ia mempunyai nilai yang sangat bersejarah dari sudut pentadbiran pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Manakala Hikayat Hang Tuah samada edisi Kassim Ahmad dan Ahmat Adam tidak mencatatkan nama Bukit Melaka.
Nama itu digunakan sekian lamanya sehinggalah Belanda menukarkan namanya kepada Bukit St. Paul. Apabila kerajaan Melayu Melaka jatuh, segala pembangunan diurus oleh pihak berkuasa Portugis. Kapten Portugis bernama Duarte Coelho pada 1521 telah membina sebuah gereja di atas Bukit Melaka sebagai tanda kesyukuran kerana beliau terselamat dalam ombak besar semasa pelayarannya di Laut China Selatan.
Duarte Coelho menamakan gereja tersebut dengan nama ‘Nossa Senhora da Annunciada’ sehinggalah pada 1641 Belanda menukar nama kepada gereja St. Paul bagi memperingati Saint Paul, mubaligh Kristian yang menjadi pengikut Jesus. Gereja itu diperbuat daripada batu laterit merah ataupun orang tempatan menyebut sebagai batu ‘lada merah’. Batu jenis ini juga yang digunakan untuk membina kota A Famosa.
Di bukit tersebut juga, mubaligh Kristian Francis Xavier, Pedro Martin dan ramai lagi pemimpin dan tokoh Portugis dikebumi. Begitu juga beberapa nama orang Belanda dan Inggeris juga tercatat dalam beberapa batu tanda di situ. Di bawah runtuhan St. Paul, terdapat banyak batu peringatan bagi mereka yang disemadikan di situ. Batu peringatan itu disandarkan pada dinding gereja itu.
Kebanyakan nama-nama yang tercatat masih kekal dilihat pada hari ini. Ini banyak membantu kajian sejarah dan memberi maklumat berguna kepada masyarakat. Banyak kubur-kubur lama orang Islam tidak dicatat nama ataupun catatannya sukar dibaca atau hilang kerana faktor usia.
Gereja St. Paul musnah dan tidak digunakan lagi selepas Belanda menggunakan Christ Church sebagai gereja mereka pada 1753. Pada zaman Inggeris dan Jepun, runtuhan gereja St. Paul dijadikan tempat letak senjata. Kini ia menjadi antara tempat tumpuan para pelancong ke negeri Melaka dan diwartakan sebagai tapak warisan Unesco.
Di sebalik kisah tersebut, Bukit Melaka mempunyai kisah bagaimana Sultan Melaka memerintah empayar Melaka. Sultan Alau’d-Din Riayat Shah menjadi Sultan Melaka selepas ayahanda baginda, Sultan Mansur Shah mangkat. Baginda adalah Sultan Melaka yang memerintah antara tahun 1477 hingga 1488. Suatu ketika pada zaman pemerintahan baginda, kejadian kecurian sering berlaku.
Pada suatu malam baginda menyamar bersama Hang Isap keluar istana untuk menyiasat. Baginda bertembung dengan lima pencuri yang sedang mengusung satu peti candu. Para pencuri itu terkejut dan melarikan diri.
Pencuri-pencuri itu lari ke Bukit Melaka dan dikejar oleh Sultan Alau’d-Din. Akhirnya baginda melibas parang ke arah badan seorang pencuri itu hingga penggal dua. Seorang lagi pencuri juga berjaya dibunuh oleh baginda. Seorang lagi dibunuh oleh Hang Isap dan dua orang pencuri telah melarikan diri dengan terjun ke sungai berenang ke seberang.
Keesokan paginya, seluruh kota Melaka gegar dengan berita tiga orang mati terbunuh. Baginda sangat murka kerana Seri Maharaja sebagai Temenggung gagal menjaga keselamatan kota Melaka. Sejak itu, kawalan keselamatan di kota Melaka diperketatkan lagi dan kejadian jenayah dapat disekat.
Di Bukit Melaka inilah dipercayai tertanamnya jasad-jasad Sultan Melaka. Ini kerana memang menjadi tradisi kesultanan Melayu, maqam-maqam raja bertempat berhampiran dengan istana baginda. Dakwaan ini tidak bersertakan bukti seperti yang dikehendaki dalam disiplin sejarah. Oleh kerana proses pemeliharaan maqam-maqam ini tidak dilakukan sejak awal, kesan-kesannya tidak dapat ditemui. Jalan lain, adalah mereka-reka cerita mitos, mistik Melayu agar diterima sebagai hujah sejarah. Aneh tetapi itulah ceritanya Melayu berhujah.
Kira-kira setahun lalu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka melontarkan cadangan agar nama Bukit Melaka itu dikembalikan. Itu memang nama asal sejak enam ratus tahun lalu. Cadangan itu mendapat sokongan dan bantahan dari pelbagai pihak. Cadangan itu agak sukar dilaksanakan kerana pertimbangan dibuat atas neraca politik. Ia mudah untuk diubah, jika ada kemahuan kuat dan berani berhujah. Kini, isu tersebut senyap seperti malam sepi di zaman darurat.
Sumber: Sulalatus Salatin, A. Samad Ahmad, 2003:174
DR. MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.