JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan beliau akan membangkitkan isu dakwaan penyediaan minuman beralkohol dalam satu majlis makan malam yang dikaitkan dengan Tourism Malaysia di mesyuarat Jemaah Menteri.
Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu menolak sepenuhnya penganjuran majlis rasmi kerajaan yang melibatkan hidangan minuman keras, kerana ia bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
“Saya sendiri akan membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet sebagai tanda ketidaksetujuan UMNO. Sebagai presiden parti, saya menolak 100 peratus perbuatan seperti itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA (YPM) 2025 peringkat Johor di Larkin, hari ini.
Beliau menegaskan, setiap program rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama, terutamanya membabitkan umat Islam serta agama Persekutuan.
“Perkara ini tidak wajar berlaku. Malaysia adalah negara Islam, dan walaupun kita menghormati agama dan budaya lain, sensitiviti umat Islam mesti dijaga dalam setiap acara rasmi kerajaan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan acara dikenali sebagai Global Travel Meet 2025 Gala Dinner — didakwa anjuran Tourism Malaysia — menghidangkan minuman beralkohol kepada tetamu.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menjelaskan bahawa majlis berkenaan sebenarnya dianjurkan dengan kerjasama sektor swasta dan pihak industri pelancongan antarabangsa yang turut menaja sebahagian acara tersebut.
Menurut beliau, acara global itu berjaya menarik penyertaan pelabur dan rakan industri antarabangsa, sekali gus menjana impak ekonomi dianggarkan bernilai RM420 juta sepanjang penganjurannya selama dua hari setengah.