Realtime website trackingweb stats

Heboh sindiket perhamba rakyat Malaysia di Peru, rupanya dua wanita ini jadi penyelamat

Oleh SHAZLIN AZIZ

Heboh dalam kalangan warganet dunia berkenaan tindakan pantas dua wanita Malaysia yang berjaya membongkar sindiket haram geng perhambaan moden dari Taiwan di Peru.

Lantaran kepantasan dua wanita berkenaan yang memboloskan diri pada 7 Oktober lalu, seramai 43 warga Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dapat diselamatkan.

Lapor akhbar berpengaruh, La Republica, berdasarkan siasatan awal Policia Nacional del Peru (PNP), samseng jenayah terancang itu dikenali sebagai Naga Merah Taiwan.

Kumpulan mafia itu tersebut menurut media berpusat di ibu kota Lima itu, dipercayai dalang sindiket pengedaran manusia dengan melibatkan ramai mangsa warga rantau Asia Timur.

Laporan tersebut yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan berbahasa Sepanyol di negara Amerika Latin itu turut tular dikongsikan ramai warganet.

Setakat ini, kata Pendakwa Raya Wilayah, Giselle Rodriguez, lapan anggota geng itu telah diberkas oleh pasukan PNP dari Pejabat Keempat Pendakwaan Jenayah Kedua Molina.

 Heboh sindiket perhamba rakyat Malaysia di Peru, rupanya dua wanita ini jadi penyelamat

Pada 9 Oktober lalu, Wisma Putra menerusi kenyataan rasmi mengesahkan bahawa seramai 43 warga Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di ibu negara Peru itu.

Ia hasil serbuan pihak polis tempatan ke atas sebuah rumah di La Molina dengan kesemua mereka itu disahkan dalam keadaan baik oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Lima.

Menjelaskan lanjut, La Republica melaporkan Ketua Polis Bahagian Timur II, Walter Ramos memaklumkan bahawa sejumlah 50 orang terdiri 27 wanita dan 23 lelaki diselamatkan.

“Operasi dilakukan di kawasan kejiranan mewah La Laguna dalam mukim La Planicie dan banglo eksklusif itu dikawal ketat oleh dua lelaki,” tambahnya dipetik oleh media tempatan.

Pihak berkuasa kemudian merampas wang tunai berjumlah 15,000 sole Peru dan 10,000 dolar Amerika Syarikat selain menyita sebanyak 50 unit telefon bimbit dan kad-kad debit.

Turut ditemukan berpuluh-puluh tong air mineral dan tilam yang dibalut dengan plastik tetapi tidak ada senjata api, bahan letupan atau dadah yang dijumpai di lokasi berkenaan.

Mangsa terbabit ujar PNP, mengakui baru menetap lebih sebulan di rumah berkenaan dan dikerah menjadi ejen panggilan palsu sebelum dua orang daripadanya cuba melarikan diri.

Mereka meminta pertolongan dari jiran di kawasan tersebut sebelum dibawa ke Balai Polis La Molina dan kemudian bertindak atas laporan itu, 20 anggota PNP bergegas ke lokasi.

Wakil Kedutaan Besar Malaysia sudah menemui mangsa dan mereka dipindahkan ke ibu pejabat Direktorat Siasatan Jenayah PNP di Lima untuk proses sesi rakaman keterangan.

Baca:

Bantu jayakan ‘Taufan Al Aqsa’, pemuda ini seru semua ‘datang’ dalam bentuk intelektual

Main golf tapi ‘kacau’ kedi sebaya anak, ini ‘habuan’ yang dua pegawai kanan tentera dapat

Polis China di Sukan Asia Hangzhou larang pemuda solat, sikap Muslim teruskan ibadat dipuji