Realtime website trackingweb stats

Hebat! Tak ramai yang tahu PMX kita pernah mengasaskan sekolah untuk orang miskin ketika muda

Oleh ADINDA

Disebalik kehebatan berpolitik dan mentadbir negara, rupa-rupanya isu kemiskinan dah lama diperjuangkan Perdana Menteri ke 11, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengasaskan sebuah sekolah persendirian untuk warga miskin dan kurang berkemampuan.

Yayasan Anda adalah sekolah swasta yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sahabatnya, Daud Seman pada tahun 1971 ketika Perdana Menteri baru berusia 23 tahun.

Selepas filem Anwar The Untold Story berjaya mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik, satu lagi naskhah mengenai falsafah dan sumbangannya dalam pendidikan diketengahkan dalam teater Cikgu Anda.

Diterbitkan oleh Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR), teater Cikgu Anda arahan Amran Nasrudin dipentaskan di Hotel Grand Barakah Ampang, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Pementasan teater Cikgu Anda turut dihadiri Anwar merangkap penaung PAYAAM, mengimbas semula sejarah penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA) sebagai institusi pendidikan swasta yang menampung pelajar luar bandar yang tercicir daripada pelajaran, seterusnya meneruskan pendidikan lebih tinggi.

Melihat usaha pasukan produksi mengangkat sejarah awal pertubuhan YAA untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum, Anwar berkata, ia bagaikan satu penghargaan besar buatnya.

“Kita bernostalgia sedikit, tidak semua dipentaskan tepat kerana ceritanya hanya fokus pada saya. YAA didirikan oleh pasukan tenaga pengajar yang saya hormati dan satu institusi sangat berhemah.

“Teater adalah satu wadah penting di negara ini. Malangnya, ia tidak diberikan tumpuan sejak beberapa tahun ini.

“Ketika menjadi Menteri Kewangan, saya memastikan setiap bank menaja sebuah pementasan teater.

“Bagi saya, kehidupan pemerkasaan seni dan budaya asasnya tetap ekonomi. Dengan keadaan ekonomi sekarang, kita boleh memberikan fokus tinggi untuk melonjakkan ekonomi, tetapi tidak boleh dipinggirkan dari sudut bahasa, budaya dan seni teater,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan teater berdurasi sejam setengah itu.

Menerusi kata aluan dalam buku program, Anwar menzahirkan penghargaan kepada pasukan teater itu.

“YAA diwujudkan atas kesedaran pemimpin belia dan mahasiswa dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Institut Teknologi Kebangsaan yang kini dikenali sebagai UTM, Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai dan Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai.

“Sebagai satu institusi yang mempunyai falsafah pendidikan tersendiri, semua aktiviti digembleng ke arah melahirkan insan memiliki akademik dan takwa.

“Sesuai dengan moto penubuhan yang berusaha memberikan pendidikan pada segenap peringkat lapisan masyarakat terutama di kalangan keluarga berpendapatan rendah, jadi sudah pasti YAA bertindak dengan mengenakan yuran pengajian paling minimum, tetapi mutu pendidikan disediakan sudah teruji keberkesanannya.

“Sambutan masyarakat terhadap institusi ini amatlah menggalakkan. Satu perlu dibanggakan ialah institusi ini sudah berjaya mencapai objektif penubuhannya dengan bertambahnya bilangan bekas lulusan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negeri,” katanya.

Justeru, kata Anwar, tidak syak lagi kejayaan dicapai sama ada dalam bidang akademik atau kerohanian pada masa lalu adalah hasil daripada beberapa program dirancang dan dijayakan dengan amat berkesan.

“Disebabkan itu, besar harapan saya agar alumni YAA dapat terus memainkan peranan, sekali gus mencetuskan gelombang untuk menggerakkan cita-cita dan harapan YAA iaitu membentuk sahsiah, idealisme, kepemimpinan, perjuangan serta penekanan semangat sukarelawan dalam kalangan alumni,” katanya.

Pengarahnya, Amran Nasrudin bersyukur pementasan teater tetap berjaya direalisasikan dengan baik, biarpun latihan berlangsung dalam masa singkat,

Amran berkata, teater Cikgu Anda adalah idea asal Datuk Dr Suhaimi Ibrahim yang juga alumni Pengerusi Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia.

Justeru, katanya, ia adalah berdasarkan cerita sebenar daripada perbualan dan perbincangan bersama ahli veteran Alumni PAYAAM, skripnya pula dihasilkan oleh Anwar Idris.

“Perdana Menteri bersama beberapa mahasiswa menyumbang bakti mendidik sebahagian pelajar yang terkandas dalam peperiksaan dan menyambung pelajaran.

“Kegigihan pengetua dan mahasiswa secara sukarela dapat membimbing pelajar di yayasan ini berjaya melangkah ke peringkat universiti.

“Semangat warga pendidik menentukan kejayaan pelajar, Sehingga kini, ramai pelajar dari yayasan ini berjaya menjadi peneraju utama jawatan tertinggi negara, jabatan kerajaan dan swasta.

“Jadi, saya bersyukur semua mesej ini dapat disampaikan dengan baik menerusi pementasan yang dirancang tidak sampai sebulan ini. Latihan juga hanya sempat diadakan selama seminggu,” katanya kepada BH Online.

Dalam masa sama, Amran tidak menafikan cabaran menjayakan pementasan teater Cikgu Anda, lebih lagi, berkisarkan individu sangat berpengaruh.

Namun, katanya, dia tidak menolak peluang mementaskannya dengan skala lebih besar.

“Sebenarnya apabila membabitkan Perdana Menteri, banyak perkara perlu diteliti dari segi karisma dan seumpamanya.

“Kami tidak mahu bercerita soal politik kerana pementasan ini disifatkan demokrasi pendidikan.

“Sebenarnya, kami merancang mengadakan pementasan ini dengan skala lebih besar, tetapi bergantung pada peruntukan. Andai kata ada peruntukan besar, kami mahu mementaskannya di Istana Budaya,” katanya.

Cikgu Anda dibintangi barisan pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Najua P Ramlee, Sarah Fazny, Abon, Mubarak Majid dan Iera Sabariah.

Ia mengisahkan Nazri kecewa selepas mendapat gred tiga dengan agregat 34 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Datang dari keluarga miskin, Nazri nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu di YAA.

Sasaran utama lulus cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran, kemudiannya membolehkan masuk universiti.

Dengan bantuan pengasas YAA, Anwar Ibrahim, Nazri diterima masuk menjadi pelajar.

Berbekalkan tekad dan nekad, Nazri mengharungi pelbagai cabaran dari YAA dan masyarakat di Kuala Lumpur.

Nazri yang hidup sebatang kara di Kuala Lumpur tanpa saudara mara. Kos pembelajaran dan sara hidup terpaksa Nazri usahakan sendiri.

Nazri bekerja di kedai makan pada siang hari dan belajar pada sebelah malam. Begitu juga gilirannya kerja malam, manakala siang meneruskan pelajaran.

Semangat dimiliki Nazri digemari oleh guru dan pelajar. Nazri selalu dijadikan contoh pelajar di YAA.

Nazri adalah pelajar yang bijak, disenangi pelajar perempuan, tetapi dicemburui pelajar lelaki. Disebabkan kemiskinan keluarga, ia membantutkan usahanya untuk berkembang maju.

Bagaimanapun, atas bantuan pendidikan daripada keluarga YAA, akhirnya Nazri berjaya memasuki Universiti Malaya.

Terdahulu, teater Cikgu Anda dipentaskan sempena Hari Guru. Watak diwujudkan bukan fiksyen, daripada guru dan pelajar adalah watak benar.

Tonton: