Siapa Hasbulla Magomedov? Yang Perlu Anda Ketahui mengenai ‘Mini Khabib’ Rusia
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, gambar dan video seorang budak kecil yang berperwatakan ceria dan kelakar telah memenuhi di kebanyakkan ruangan media sosial. Budak kecil itu bernama Hasbulla Magomedov dan melihat daripada penampilannya kelihatan seperti dia berusia 5 tahun, sedangkan banyak yang netizen salah sangka tentangnya.
Digelar “Mini Khabib”, Magomedov dari Rusia dan videonya telah mendapat perhatian di media sosial. Hasbulla yang sebenarnya berusia 18 tahun adalah seorang blogger yang berasal dari Makhachkala, Rusia dan mengalami gangguan genetik yang memberinya penampilan seperti kanak-kanak. Dia menghidapi GHD (Growth Hormone Deficiency), juga dikenali sebagai kerdil.
Hasbulla kali pertama viral di media sosial sejak memuat naik video di TikTok. Hasbulla yang mengidolakan Khabib, sering meniru aksi mantan juara dunia gusti UFC tersebut, termasuk ketika melakukan senaman badan.
https://www.youtube.com/watch?v=0I87gQFxgv0
Antara gelagat Hasbulla yang boleh dilihat di YouTube dan mendapat jutaan tontonan netizen.
Tumbesaran adalah satu proses fisiologi yang kompleks pada saat kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka. Proses ini berterusan pada kadar yang tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun.
Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun.
Terdapat beberapa jenis masalah tumbesaran yang mungkin membawa kepada corak tumbesaran tidak normal atau kegagalan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak. Kekurangan hormon tumbesaran (Growth Hormone Deficiency) turut menjadi punca kanak-kanak gagal membesar dengan normal.
Ia mungkin berlaku pada bila-bila masa dan dikesan melalui penghasilan hormon tumbesaran yang rendah atau langsung tiada. Simptom kekurangan hormon tumbesaran ditunjukkan seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot dan ciri-ciri muka yang tidak matang.
Selain itu, simptom yang mungkin menandakan seseorang kanak-kanak itu kekurangan hormon tumbesaran termasuk bentuk dahi yang menonjol, perkembangan pertengahan muka yang terbantut, pertumbuhan gigi yang lewat dan lambat mencapai akil baligh.
Antara gangguan tumbesaran lain adalah masalah bayi dilahirkan kecil daripada usia kandungan (SGA) atau berat lahir kurang daripada 10 peratus berbanding bayi lain selepas tempoh kehamilan yang sama. Kira-kira lima peratus daripada semua bayi dilahirkan dengan SGA disebabkan pembesaran kandungan yang terbantut.
Ketika kebanyakan bayi membesar sempurna dalam tempoh dua tahun usia, kira-kira 10 peratus lagi tidak mencapainya, manakala 22 peratus orang dewasa yang sangat pendek adalah daripada bayi SGA. Diagnosis akan dibuat apabila berat badan atau ketinggian bayi jauh lebih rendah daripada apa yang dijangka seiring dengan umur bayi.
Semasa membesar, kanak-kanak ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan seperti perubahan metabolisme di peringkat selanjutnya dalam kehidupan, masalah perkembangan saraf atau morbiditi (kecacatan) perinatal.
Menurut Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Pakar Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam satu laporan Harian Metro, Profesor Dr Wu Loo Ling berkata, tahap kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan.
“Masalah ini biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia secara semula jadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil.
“Namun, adalah penting untuk ibu bapa di Malaysia mengetahui simptom-simptom masalah tumbesaran ini dan berjumpa dengan doktor sekiranya bimbang akan sesuatu isu. Gangguan tumbesaran kanak-kanak juga boleh disebabkan kekurangan nutrisi dan penyakit kronik,” katanya.