Kemeriahan bulan Ramadan di negara ini memberi peluang kepada peniaga untuk meningkatkan jualan mereka melalui bazar dan ‘booth’.
Tidak hairanlah, ramai orang, terutamanya umat Islam, sedang mencari barang-barang yang penting untuk menyambut kedatangan Syawal yang akan datang, seperti kuih raya, baju raya, dan aksesori pakaian.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, peniaga kadang-kadang menghadapi cabaran dalam perniagaan mereka, termasuk perlu membayar sewa tapak bazar atau ekspo dengan harga yang tidak masuk akal.
Perkara itu didedahkan oleh seorang peniaga kedai baju yang hanya mahu dikenali sebagai Fuad, 37, yang mengakui merasa terkesan dengan harga tapak yang dianggarkan meningkat sebanyak 50 peratus.
Fuad menyatakan bahawa dia merasakan kenaikan tersebut ditetapkan oleh penganjur sendiri tanpa campur tangan dari pihak lain, semasa dia berada di sebuah dataran ekspo di Seremban, Negeri Sembilan.
“Harga tapak sebelum ni okay dan tidak melampau, namun ketika ini harga tapak naik mencecah RM10,000 hingga RM15,000,” katanya.
Selepas itu, Fuad, yang telah berniaga bersama keluarganya selama lebih dari 10 tahun, mengakui bahawa mereka terpaksa menaikkan harga barang yang dijual kerana beberapa faktor tertentu.
Ini termasuk kos modal untuk barang yang dijual dan juga kos sewa tempat untuk berjual.
“Harga baju semasa diambil pun sudah mahal, ditambah pula dengan harga tapak lagi.”
“Namun, kenaikan harga itu tidaklah melampau sangat, ‘standard’ sahaja kerana masih ikut pasaran,” katanya.
Dalam masa yang sama, peniaga itu juga mengakui bahawa mereka juga terkesan dengan kewujudan perniagaan dalam talian.
Ini bermaksud, lebih ramai pengguna kini memilih untuk membeli pakaian secara dalam talian, menyebabkan penjualan secara langsung berkurangan.
“Saya sememangnya terkesan dengan pembelian baju ‘online’ lebih-lebih lagi di laman TikTok.”
“Tetapi, saya memang ada perancangan untuk masuk ke platform TikTok pada masa akan datang,” ujarnya.
Baca:
Aliff Aziz dan Ruhainies sedondon pakai putih di KLIA, netizen syak nikah di Tanah Suci
TNG di MyKad telah tamat tempoh? Ini cara ‘renew’ yang mudah