BTS DAN MINYAK MASAK MAHAL, PENEROKA FELDA TIDAK UNTUNG?
Lama tidak menulis berkenaan FELDA.
Terbaca berita ini dihantar oleh kawan-kawan dalam aplikasi Whatsapp.
Ada yang bangga mengatakan harga sawit mencecah RM1100/tan. Ternyata mereka sendiri tidak faham bagaimana harga buah tandan basah (BTS) ditentukan di setiap kilang dan pusat pengumpulan hasil.
Ada menteri mengatakan munasabah harga minyak sawit bertapis tinggi berkadar langsung dengan nilai harga semasa minyak sawit mentah.
Masing-masing ada hujah untuk dilihat positif tanpa melihat keseluruhan rantaian industri minyak sawit di Malaysia.
Industri pertanian dan perladangan bergantung kepada pengurusan, kos operasi dan harga pasaran. Matematik mudahnya pengurusan yang baik menghasilkan kos yang minimum dan produktviti serta nilai yang optimum.
Berita dibawah ini antara keluhan peneroka bahawa walaupun harga BTS dan minyak masak pada nilai yang tinggi.
Perkara ini berlaku kerana ada beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
1. Pengurusan ladang.
Isu pengurusan ladang peneroka FELDA bermasalah telah lama berlaku. Masalah bermula dari tanam semula sehingga kepada kerja-kerja ladang termasuk meracun, pruning, membaja, kawalan penyakit, jalan ladang, menuai dan mengalih hasil dari ladang ke kilang.
Pokok sawit yang gagal diuruskan bermula dari ketika ia ditanam akan mencacatkan pokok dan memberi kesan jangka panjang dalam mengeluarkan hasil yang baik. Benih yang baik tetapi tidak dijaga dengan baik, tidak memberikan hasil pulangan yang terbaik.
Masalah tenaga kerja kerana kebergantungan kepada warga asing juga memberi kesan besar kepada kualiti penjagaan dan produktiviti pengeluaran hasil. Setiap peringkat kerja ladang terganggu dimana penyelenggaraaan tidak dapat dibuat, pembajaan tidak dapat mengikut jadual, penuaian terlewat dan akhirnya memberi kesan kepada pendapatan peladang sawit.
2. Nilai Kadar Perahan.
Secara puratanya, peneroka FELDA kerugian RM300 juta setahun kerana nilai kadar perahan gred yang rendah. Semakin tinggi nilai setiap 1% kadar perahan, semakin besar kerugian ditanggung oleh peneroka FELDA. Mungkin bagi tahun 2021, kerugian boleh mencecah RM500 juta kerana nilai kadar perahan.
Antara faktor nilai kadar perahan rendah adalah penuaian yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan MPOB dan prestasi pemprosesan kilang yang bermasalah.
Industri sawit di Malaysia telah mencecah 104 tahun (1917) dan peneroka FELDA bergelumang selama 65 tahun (1956) mencipta pengalaman yang amat berharga.
Namun generasinya masih tidak dapat memahami industri ini dengan baik dan menjadikan ia satu legasi yang berjaya. Tumpuan warga FELDA termasuk pengurusan hanya kepada mengangkat perkara yang mereka rasa berjaya, namun kegagalan mereka seolah disorok kononnya untuk membina suasana positif diminda mereka.
Kerajaan pula dilihat tidak mengubah dasar dan polisi yang mampu memangkin industri ini kearah lebih baik kerana lebih mementingkan keuntungan politik. Memberi contoh sikap meraih keuntungan politik adalah dengan membandingkan harga sawit pada waktu pemerintahan kerajaan lain dan juga isu penyata hutang peneroka yang dikatakan telah selesai, ditangguh untuk diumumkan pada hari peneroka pada julai nanti.
Untung dan rugi perlu dilihat secara keseluruhan dasar, polisi dan pelaksanaan. Peneroka FELDA hanya penerima pelaksanaan dasar, bukan pelaksana dasar. Mereka hanya ikut dan patuh apa yang telah ditetapkan, bukan dilibatkan secara langsung sebagai pemegang taruh.
Pernah terfikir dibenak akal, alangkah untung dan baiknya peneroka telah pun mendapat geran individu dimana haknya lebih terjamin, berbanding jika masih lagi dengan dasar geran kelompok dimana mungkin mereka akan dilayan sebagai pekerja kepada majikan. Terima kasih kepada Almahrum Tun Ghaffar Baba yang mengurniakan dasar geran individu kepada peneroka FELDA. Tahniah kepada Almarhum Tuan Suhaimi Said serta Almarhum Salleh Ahmad atas perjuangannya.
Peneroka dan warga FELDA pertahankanlah keuntungan yang telah ada. Usahakanlah ladang anda kearah keuntungan dunia dan akhirat.
Ridhuan Esa
Generasi ke 2 dan Ke 3 FELDA