Seorang remaja berusia 20-an mengambil tindakan undang-undang terhadap ibunya setelah
wanita itu membuang semua 32 koleksi manga Attack on Titan miliknya tanpa pengetahuan beliau.
Kejadian ini telah menjadi perbualan hangat di kalangan peminat manga dan netizen di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Menurut laporan dari TTV News, remaja tersebut yang marah dengan tindakan ibunya
membuat keputusan drastik untuk menyaman wanita itu atas alasan pencerobohan hak milik peribadi.
Walaupun situasi ini mungkin kelihatan keterlaluan bagi sesetengah pihak, mahkamah Taiwan berpihak kepada si anak, menjatuhkan denda sebanyak NTD5,000 (lebih kurang RM663) kepada si ibu atas kesalahan “merosakkan harta benda orang lain”.
Wanita itu juga dijatuhkan hukuman 5 hari kerja berat, tetapi masih berpeluang untuk membuat rayuan.
Hakim yang mengadili kes ini memutuskan bahawa tindakan ibu tersebut adalah satu “pencerobohan tidak sah terhadap ahli keluarga” di bawah Akta Pencegahan Keganasan Rumah Tangga Taiwan.
Kes ini juga dilihat sebagai pengajaran terhadap perbuatan yang dianggap remeh tetapi membawa impak besar dalam hubungan keluarga.
Si ibu mengakui kesilapannya di mahkamah dan mendakwa bahawa dia menyangka koleksi manga yang ditinggalkan di tangga rumah mereka adalah sampah.
Dengan niat “membantu” anaknya mengemas, dia tanpa teragak-agak telah membuang semua komik tersebut tanpa menyedari bahawa komik itu adalah koleksi edisi terhad.
Walaupun mahkamah pada awalnya mencadangkan sesi mediasi bagi menyelesaikan pertikaian ini, remaja itu tetap bertegas untuk meneruskan tindakan undang-undang.
Menurut laporan, hubungan antara anak dan ibunya sudah pun ‘panas’ sebelum kejadian ini, dan insiden ini hanya memburukkan lagi keadaan.
Si anak turut menyerahkan bukti berupa gambar koleksi komiknya Attack on Titan kepada pihak polis, menjelaskan bahawa manga tersebut adalah edisi terhad dan masih dalam keadaan baharu.
Kes ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutamanya di Taiwan dan Malaysia. Ada yang berpendapat bahawa tindakan saman ini terlalu keras untuk dikenakan terhadap seorang ibu, sementara yang lain bersimpati dengan pemuda tersebut.
BACA: ‘Tak perlu jadi peguam, hanya perlu pakai otak’ Uyaina hanya beri kesedaran