Kisah Kavievanan Subramaniam, seorang graduan kejuruteraan mekanikal yang menjadi penjual teh bergerak di ibu Kota
Kuala Lumpur pernah tular dan menjadi perhatian masyarakat Malaysia sewaktu negara berdepan pandemic Covid-19.
Pada masa itu, Kavienan atau lebih mesra dipanggil Kavi terkenal dengan penyediaan teh masala – teh tradisional
daripada India dengan campuran rempah aromatik seperti cengkih dan kayu manis – selepas ia mendapat sambutan menggalakkan di sekitar Brickfields dan Masjid India.
Bagaimanapun, jualan yang pada awalnya bertujuan mengisi duit poket sementara menunggu panggilan kerja telah semakin berkembang dan mendatangkan pendapatan cukup baik.
Kini, perniagaan diusahakan Kavi atau lebih dikenali dengan jenama Tea Thambi sudah memiliki dua kafe dan lima gerai dengan kesemuanya beroperasi di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Berkongsi kepada Majoriti, Kavi yang merupakan graduan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata, untuk menampung pengembangan operasi perniagaannya, dia kini turut dibantu seramai 17 pekerja dan sebuah dapur pusat terletak di Segambut.
“Kalau dulu waktu mula-mula saya boleh jual tak sampai 100 cawan sehari, sekarang ini sehari kami boleh jual dalam 2,000 hingga 3,000 cawan,” katanya.
Selain daripada rasanya yang autentik, teh masala Tea Thamby popular kerana harganya yang cukup berpatutan bermula dari RM1 hingga RM4.
Menurut Kavi yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur, semasa mula mengambil keputusan untuk menjual teh berkenaan, dia pada awalnya belajar resipi daripada ibunya.
Pada masa sama, dia turut mengambil maklum balas daripada pelanggannya untuk menyempurnakan resipi teh masalanya.
“Masa jual itu, ada juga pelanggan dia cakap ini terlebih, ini terkurang. Jadi macam trial and error juga. Setiap hari saya eksperimen.
“Saya ambil masa setahun juga sebelum dapat rasa yang semua orang suka dan kekal sampai sekarang,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik.
Kavi berkata, teh masala diperbuat daun teh berkualiti tinggi dan bahan semula jadi yang diperoleh daripada pembekal dipercayai.
“Teh campuran kami juga dibuat dengan bahan-bahan terapeutik, dan ini membezakan teh kami di pasaran,” ujarnya yang kini berusia 27 tahun.
Selain teh masala, kafe dan gerai Tea Thambi turut menyediakan jualan lain seperti kopi, teh halia, roti bakar dan kuih muih termasuk vadai dan karipap.
Dalam pada itu, ditanya mengenai detik yang meyakinkannya bahawa perniagaan teh masala tersebut boleh pergi lebih jauh, Kavi berkata, perkara itu diperolehi Ketika dia mula berjualan dengan berjualan dengan berbasikal di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
“Masa tengah berkayuh itu, memang ramai minta teh. Cumanya ramai mereka ini malas nak berjalan. Jadi kalau kita yang pergi ke sana, mereka mesti beli.
“Jadi itu yang mula sedarkan saya bahawa permintaan terhadap teh masala ini memang ada. Tapi kualiti mesti ada, dan harga pun mesti berpatutan,” ujarnya.
Kavi memulakan perniagaan jualan teh masalanya sekitar Julai 2020 dengan menggunakan basikalnya dan bergerak di sekitar Brickfields dan Masjid India.
Menurut Kavi, pada waktu itu, dia menjalankan Tea Thambi dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM500 untuk tong minuman, stok teh, susu dan cawan termasuk sedikit ubah suai terhadap basikal jenis fixi yang digunakan sewaktu belajar.
Dia juga akan berkayuh sejauh kira-kira 10 kilometer daripada rumahnya di Bandar Tun Razak, Cheras untuk berjualan di tengah-tengah ibu kota.
Beberapa bulan selepas itu, perniagaan teh masalanya berkembang secara perlahan-lahan sehingga membolehkannya membuka gerai baharu dan juga turut mengambil pekerja kira-kira hampir setahun kemudian.
Menurut Kavi, pada waktu ini, perniagaan Tea Thambi dianggarkan memperoleh pendapatan hampir RM100,000 sebulan.
Jumlah tersebut hasil daripada jualan di dua kafenya di Jalan Tun Perak dan Masjid Jamek serta lima gerai antaranya di Brickfields, Lebuh Ampang serta Bukit Bintang.
Pada masa sama, Tea Thambi turut mengambil tempahan bagi menyediakan penyediaan teh dan makanan termasuk di luar Lembah Klang.
Bergerak ke hadapan, Kavi berkata, dia ketika ini mendapat banyak permintaan daripada pihak lain untuk membuka francaisnya di luar Lembah Klang.
Bagaimanapun, menurutnya, dia perlu mengumpul lebih banyak pengalaman dalam menguruskan perniagaan sebelum mengambil Langkah seterusnya.
“Saya fikir memang rancang untuk besarkan lagi, tapi saya masih tengah belajar bagaimana nak uruskan perniagaan.
“Sebab saya bukan sekadar nak buat duit, jual RM100,000, tapi akhir sekali tiada hasil.
“Walaupun lambat, tidak mengapa. Asalkan kita berkembang dengan stabil,” ujarnya.