“Dengan adanya IVDD ini, kita hanya perlu mengimbas mata menggunakan pengesan tersebut, dan kita dapat mengetahui
sama ada individu tersebut terlibat dalam dadah tanpa perlu melakukan ujian air kencing,” katanya.
Lapangan Terbang di Sarawak kini dilengkapi dengan 19 buah Pengesan Dadah Visual Segera (IVDD) yang disumbangkan oleh Kerajaan Sarawak.
Ini bertujuan untuk menangani isu wilayah yang kini menjadi hab transit pengedaran dadah antarabangsa, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.7 juta untuk membeli IVDD dan kemudahan ‘handheld bag scatter’.
Ayob berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Khas Narkotik yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan One Stop Committee bagi menangani isu dadah dan substans di Sarawak pada hari Selasa.
Menurutnya, pengesan itu membolehkan dadah dikesan dalam badan seseorang individu dalam masa 60 saat tanpa melakukan ujian air kencing.
Ayob menambah bahawa Kerajaan Sarawak juga telah membeli peralatan berteknologi tinggi seperti “Handheld Bag Scatter” dan “AI Assistant Cargo Scanner Machine” yang memeriksa bagasi ‘hand carry’ dan ‘check-in luggage’ dengan lebih teliti bagi memastikan tiada bahan seludup seperti dadah.
“Kami yakin dengan kerjasama yang mantap antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kerajaan Sarawak,
kita dapat menangani isu penyeludupan dan penagihan dadah dengan lebih berkesan menggunakan peralatan teknologi terkini di Sarawak,” jelasnya.