Hadiah hari guru paling bernilai, bekas pelajar kumpul RM2 juta beli bas, surau baharu untuk sekolah. Sambutan Hari Guru 2025 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu, mencatat detik manis yang penuh makna apabila bekas pelajar sekolah itu menghadiahkan sebuah bas baharu bernilai RM670,000 sebagai tanda penghargaan kepada alma mater tercinta.
Bas mewah tersebut merupakan sumbangan ikhlas daripada Persatuan Bekas Pelajar SESMA (My SESMA) dan telah diserahkan sendiri oleh Presiden My SESMA, Datuk Mohd Zuber Embong kepada Pengetua SESMA, Puan Hayati A Rahman, dalam satu majlis penuh simbolik dan emosi.
Datuk Zuber, yang juga merupakan bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, berkongsi bahawa dana pembelian bas ini adalah hasil kempen kutipan derma yang dilancarkan sejak Februari 2023.
“Dalam tempoh 22 bulan, kami berjaya mengumpul sebanyak RM2 juta hasil sumbangan orang ramai dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Semangat kebersamaan dan kenangan di SESMA menggerakkan semua pihak untuk menyumbang,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Menariknya, cadangan awal kutipan derma adalah untuk membina surau baharu yang boleh memuatkan kira-kira 250 jemaah. Namun, setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak sekolah, My SESMA bersetuju untuk memperuntukkan sebahagian dana itu bagi pembelian bas demi keperluan pelajar.
“Tempahan bas telah dibuat pada Februari lalu, dan syukurlah semuanya berjalan lancar. Walaupun dana digunakan untuk dua tujuan, projek pembinaan surau tidak terjejas. Malah, surau baharu dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada bulan Ogos ini,” jelasnya.
Datuk Zuber menegaskan bahawa kedua-dua hadiah istimewa ini — bas dan surau baharu — merupakan tanda kasih dan penghargaan My SESMA terhadap sekolah yang telah mencorakkan kehidupan mereka suatu ketika dahulu.
“Ini adalah hadiah istimewa sempena sambutan Hari Guru 2025. Kami ingin guru-guru tahu, jasa mereka tidak pernah kami lupakan,” katanya penuh bangga.
BACA JUGA :
Jika saya jadi Perdana Menteri lagi..