Had umur 16 tahun akaun media sosial dijangka bermula seawal Jun – Fahmi Fadzil

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Kerajaan menyasarkan pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial seawal Jun ini, sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan memberi tempoh kepada penyedia platform untuk melaksanakan penyesuaian termasuk proses ‘pembersihan’ akaun, bagi memastikan pengguna bawah usia 16 tahun tidak lagi membuka atau mengekalkan akaun sedia ada.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu berpotensi dimulakan lebih awal sekiranya semua pihak terlibat bersedia dan proses berjalan lancar.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Broadcasting Symposium 2026 di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti mekanisme terbaik bagi pengesahan umur pengguna sebelum penguatkuasaan had tersebut pada separuh kedua tahun ini.

Usaha itu turut melibatkan sesi libat urus bersama syarikat teknologi utama seperti Meta Platforms, Google dan TikTok bagi mengenal pasti kaedah yang praktikal dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan sepenuhnya peranan wartawan dan penyampai berita.

Menurutnya, walaupun AI mampu membantu dari segi teknikal dan penghasilan kandungan, elemen analisis dan pertimbangan editorial masih memerlukan peranan manusia.

Bagaimanapun, beliau berpandangan landskap industri media akan berubah, dengan kelebihan diberikan kepada pengamal media yang mahir memanfaatkan teknologi AI.

Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Dana Inovasi Media bernilai RM30 juta bagi menyokong organisasi media dalam mengadaptasi teknologi berkenaan tanpa menjejaskan peluang pekerjaan, di samping membuka ruang kepada sumber pendapatan baharu dalam industri.