Faiz Fadzil mendakwa cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membenarkan hanya 80 orang Ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat bagi persidangan Parlimen 26 Julai ini adalah bertentangan dengan perlembagaan. Memboikot sidang parlimen pula boleh menyebabkan ahli parlimen kehilangan kerusi.
Menghadkan 80 MP untuk hadiri sidang parlimen tidak berperlembagaan
Menghadkan jumlah Ahli Parlimen untuk memasuki Dewan Rakyat adalah tidak berperlembagaan kerana peraturan ini menghadkan hak dan tugas hakiki mereka, sedangkan tiada peruntukan had ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika sekalipun wujud kebimbangan pandemik Covid-19, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak memberikan kuasa kepada Speaker untuk membuat peraturan sedemikian, oleh itu, Perlembagaan Persekutuan mengatasi dan peraturan menghadkan kehadiran Ahli Parlimen adalah jelas salah dan tidak berperlembagaan.
Cadangan supaya Ahli Parlimen pembangkang memboikot sidang Parlimen kali ini juga boleh mendatangkan risiko kepada Ahli Parlimen terlibat kerana kerusi mereka boleh diisytiharkan kosong jika tidak hadir lebih tempoh 6 bulan kecuali dengan kebenaran Dewan Rakyat. Perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan (secara verbatim):
“Jika seseorang ahli mana-mana satu Majlis Parlimen tidak hadir pada tiap-tiap sidang Majlis Parlimen selama tempoh 6 bulan tanpa kebenaran Majlis Parlimen itu, Majlis Parlimen itu boleh mengisytiharkan kerusinya kosong.”
Boikot pula boleh menghilangkan kelayakan ahli parlimen
Implikasi peruntukan ini adalah jika Ahli Parlimen memboikot sidang Parlimen, mereka dianggap tidak mendapat kebenaran bercuti untuk tidak hadir dan boleh kehilangan kerusi jika sekali lagi sidang Parlimen diadakan kerana memboikot atas alasan yang sama. Tidak logik untuk memboikot sidang Parlimen kali ini atas alasan jumlah kehadiran yang dihadkan, tetapi tidak pula memboikotnya dalam sidang seterusnya jika peraturan sama berulang. Ia disebut ‘one cannot approbate and reprobate at the same time’.
Menurut ahli dewan undangan negeri Permatang Pasir itu lagi, langkah terbaik adalah membawa isu ini ke mahkamah jika kerajaan PN bertegas mahu menghadkan jumlah kehadiran Ahli Parlimen. Tindakan lemah kerajaan PN ini mencetuskan satu lagi krisis Perlembagaan dan mahkamah adalah premis terbaik menyelesaikan isu ini. Saya yakin dengan kebijaksanaan dan integriti mahkamah untuk meletakkan perlembagaan pada tempatnya supaya keluhuran undang-undang sentiasa dijunjung dan keyakinan rakyat pada sistem demokrasi negara dikembalikan.