Realtime website trackingweb stats

Habis ratusan ringgit, pasangan ini sanggup masak juadah raya untuk anak bulus jalanan

Oleh NUR KASIH

Pasangan ini dengan rela hati menghabiskan ratusan ringgit untuk menyediakan hidangan raya bagi anak kucing-kucing jalanan.

Ada orang yang memilih untuk merayakannya bersama keluarga, malah ada yang lebih selesa merayakan Hari Raya di luar negara.

Untuk Nor Izyan Syahida Rosli, 28, dan suaminya, mereka merayakan Syawal kali ini bersama kucing jalanan.

Habis ratusan ringgit, pasangan ini sanggup masak juadah raya untuk anak bulus jalanan

“Kucing jalanan adalah sebahagian daripada keluarga kecil kami. Jadi kami pilih untuk menyambut Hari Raya dengan memberi makanan istimewa kepada mereka.”

“Sejak kami berkahwin, kami belum dikurniakan zuriat jadi anak-anak kucing jalanan ini kami anggap seperti anak sendiri. Mereka memberi ketenangan kepada kami,” katanya ketika dihubungi mStar.

Sudah masuk tahun kedua perkahwinan, memberi makan kepada kucing sebenarnya menjadi rutin harian mereka sejak mereka bercinta.

Dengan mengeluarkan sekitar RM420 untuk 20 ekor ayam mentah, pasangan ini menyediakan menu istimewa khas ayam rebus sebagai makanan buat kucing jalanan sempena Hari Raya.

Izyan, yang tinggal di Kota Bharu, Kelantan berkata, dia dan suaminya mengagihkan makanan kepada haiwan jalanan di sekitar Pantai Cahaya Bulan dan Pasar Kedai Buloh.

Pada hari biasa, mereka sediakan makanan basah dalam tin dan makanan kering (kibbles) untuk kucing jalanan.

“Tetapi sempena Hari Raya, kami masak sendiri ayam rebus supaya kucing jalanan dapat menikmati hidangan yang lebih sedap.

“Sambil merayakan bersama keluarga, kami memberi makan kepada kucing-kucing ini. Saya bersyukur sangat kerana suami banyak menyokong dan membantu,” katanya.

Bagi Izyan yang mempunyai 67 ekor kucing di rumah, dia tidak boleh mengabaikan ‘anak-anak’nya yang kelaparan, terutamanya pada bulan Ramadan.

Bercerita lanjut tentang peruntukan dana untuk makanan harian kucing, Izyan menubuhkan satu organisasi yang dipanggil Tabung Kucing Jalanan PCB.

“Kucing-kucing terbiar tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Tiada sesiapa yang ambil peduli bahawa haiwan-haiwan ini lapar atau sakit. Ada yang kami jumpa kelaparan selama beberapa hari.

Sebagai penyayang haiwan, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita semua untuk memberi makanan dan tidak membiarkannya mati kelaparan. Terutamanya pada bulan puasa apabila banyak kedai-kedai tutup, membuatkan haiwan-haiwan ini susah mencari makanan.

“Selain daripada dana peribadi, penyumbang-penyumbang di media sosial turut membantu berkongsi rezeki,” katanya sambil menambah kos makanan harian berjumlah kira-kira RM250.

Walaupun menganggap usahanya kecil, namun Izyan berharap agar lebih ramai orang mengambil peluang untuk memberi bantuan kepada kucing jalanan yang terbiar ini.

Pada masa yang sama, dia juga berdoa agar populasi kucing jalanan berkurangan dengan harapan masyarakat tidak membuang haiwan-haiwan ini dengan sewenang-wenangnya.

“Saya berharap populasi kucing jalanan dapat dikurangkan. Kasihan jika kita biarkan mereka mencari makanan sendiri. Mereka menderita hidup di luar.

“Mereka terpaksa mencari makanan dalam tong sampah dan meminta simpati dari pelanggan-pelanggan di kedai makan. Kadang-kadang mereka tidak mendapat makanan sehingga mati kelaparan. Oleh itu, hentikanlah amalan membuang kucing, terutamanya anak kucing yang masih kecil sehingga mereka mati dilanggar dan sebagainya.

“Saya juga berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap individu yang membuang kucing kerana ini merupakan kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Tangkaplah mereka dan kenakan denda yang setimpal serta jadikan ia sebagai pengajaran,” ujarnya lagi.

Kesungguhan mereka dalam memberikan kebahagiaan kepada kucing-kucing jalanan ini sungguh mempesonakan. Semoga kebaikan mereka diberkati selalu.

Baca:

Ini nasib lesen operasi syarikat edar stoking kalimah Allah, ramai puji tindakan tegas kerajaan

Pulut bakar juadah berbuka hanya perlukan 6 bahan ini, bau semerbak sudah bukan rahsia lagi

Petua simpan tauhu supaya tahan lebih lama dalam peti ais