Gelombang Kedua Banjir: Kerajaan Utamakan Pemindahan Awal, Lindungi Nyawa Rakyat

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh tahap kesiapsiagaan termasuk sistem amaran awal sebagai langkah menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, walaupun corak cuaca sukar diramal dengan tepat, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan penduduk di kawasan berisiko tinggi dipindahkan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Menurut beliau, gelombang kedua banjir dijangka melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, selain Sarawak.

“Perkara paling penting ialah keberkesanan sistem kesiapsiagaan dan amaran awal yang telah dibangunkan supaya proses pemindahan dapat dilakukan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerosakan dokumen penting serta memastikan persiapan mencukupi di pusat pemindahan sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan akan menangani sebarang isu dan perbezaan pandangan berhubung premium tanah antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu secara berunding dan berhemah.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan menerusi FELDA dan FGV bersama kerajaan negeri Terengganu, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, akan terus diperkasakan bagi mencari penyelesaian terbaik demi menjaga kebajikan para peneroka.

“Tiada isu yang tidak boleh dirundingkan dan keutamaan kerajaan adalah memastikan kepentingan serta kesejahteraan peneroka sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi selama sebulan sehingga 7 Januari depan susulan perkembangan positif hasil rundingan antara kerajaan negeri dan FELDA berkaitan isu tersebut.