Realtime website trackingweb stats

Gelabah poket kosong pasal sakan beraya? Ini 5 perkara penting wajib ingat sebelum berbelanja

Oleh NURAIMAN

Cukuplah pengalaman tahun-tahun sudah diri menggelabah gara-gara poket kosong pasal sakan beraya.

Untuk Aidilfitri tahun ini, persiapan raya ukurlah baju di badan sendiri. Mungkin baju raya cukuplah sepasang baju Melayu dan sepasang pakain kasual atau kemeja batik, bagi yang lelaki.

Begitu juga perempuan, cukuplah paling banyak pun dua pasang baju raya. Persiapan kuih pula jika tahun lepas penuh meja, tahun ini cubalah berhemat hanya separuh meja.

Gelabah poket kosong pasal sakan beraya Ini 5 perkara penting wajib ingat sebelum berbelanja 01

Ini 5 tip patut ikut agar kewangan anda tidak gelabah tiada duit selepas sakan beraya:

1. Urus perbelanjaan dengan berhati-hati

Sepatutnya, kita boleh buat anggaran perbelanjaan Aidilfitri semasa berdasarkan perbelanjaan tahun lalu.

Katakan perbelanjaan bagi raya tahun lepas ialah RM2,400, kita sudah boleh menganggarkan amaun yang lebih kurang sama juga untuk tahun ini.

Jika anda tidak mula menyimpan perbelanjaan Aidilfitri sejak tahun lepas, tidak mengapa.

Formulanya masih sama iaitu sediakan bajet berpandukan jumlah yang dibelanjakan untuk tahun lepas.

Berdasarkan bajet itu pula, beli apa yang perlu sahaja. Matlamat kita tentunya mahu menjaga kewangan, baik semasa hari raya atau selepas hari raya.

Jadi, rancang perbelanjaan dengan baik dan jangan terlalu ikutkan nafsu. Tidak ada salahnya pun sekiranya kita beraya secara sederhana.

2. Senaraikan barang yang perlu dibeli mengikut keutamaan

Nilai perbelanjaan hari raya tahun lepas. Kenal pasti apa yang lebih utama untuk dibeli pada tahun ini.

Susun barangan mengikut keutamaan dan bahagikan mengikut kategori, iaitu perbelanjaan primer, sekunder dan tertier.

Primer ialah perbelanjaan yang perlu diutamakan dan tertier ialah perbelanjaan yang kurang penting tetapi boleh dibeli jika ada wang lebihan.

Jadi, buat penilaian berdasarkan perbelanjaan tahun sebelumnya dan susun mengikut kategori yang disebutkan.

Jangan biarkan orang sekeliling mempengaruhi keputusan. Setiap orang mempunyai keutamaan kewangan yang berbeza.

Berbelanjalah mengikut senarai keutamaan yang telah dibuat dan jangan mudah terpengaruh dengan keputusan orang lain.

3. Rekod setiap perbelanjaan

Catat setiap perbelanjaan adalah untuk mengetahui aliran keluar masuk wang.

Catat segala perbelanjaan dan pendapatan, bermula dari membeli-belah barang keperluan seperti baju raya dan sebagainya.

4. Jangan mudah terpengaruh dengan diskaun

Diskaun ini hanya taktik peniaga untuk mengaburi pelanggan hingga menganggap keuntungan berpihak pada diri pelanggan.

Contohnya, jenama X membuat diskaun untuk baju kurung moden. Harga asalnya ialah RM399 tetapi setelah diskaun, baju itu dijual pada harga RM299.

Tetapi, jenama Y menjual baju kurung moden tetapi dengan rekaan yang sederhana pada harga RM199.

Mana lebih berbaloi dan adakah diskaun yang ditawarkan daripada jenama X betul-betul menjimatkan?

5. Bina tabung kecemasan

Memang tidak dinafikan Aidilfitri sinonim dengan perbelanjaan yang besar. Selain keperluan keluarga, kadangkala kita memerlukan dana untuk berkumpul bersama keluarga besar. Namun, jangan habiskan semua wang anda untuk hari raya semata-mata.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, anda tetap perlu menyimpan untuk simpanan kecemasan untuk situasi tidak dijangka seperti membayar kerosakan kereta, perkakas rumah yang rosak secara tiba-tiba atau ada ahli keluarga yang jatuh sakit.

Jadi, dalam pengiraan bajet perbelanjaan hari raya, asingkan juga sejumlah wang dan masukkan dalam tabung simpanan kecemasan.

Baca:

Budak di kedai ditanggalkan baju dan ditampar, inilah rupa pendudukan tentera

Tak duduk dalam kasut, cara Neelofa & Nabil respon luahan ‘caller’ raih kritikan warga maya

Penangan kuasa viral, Faiz sampai tak cukup tidur, ramai puji penjual burger meja ke meja iras wajah Wahid Senario ini