Realtime website trackingweb stats

Gaza dibom tanpa henti, setiap rakyat Palestin jadi sasaran, ini 10 fakta terkini wajib tahu

Oleh ADINDA

Gaza kini dibom tanpa henti susulan serangan mengejut dan besar-besaran oleh kumpulan Hamas pada waktu subuh, 7 Oktober lalu.

Serangan roket besar-besaran ke arah selatan Israel dilapor mengakibatkan angka korban tertinggi di negara haram itu dalam tempoh 50 tahun.

Masuk hari ketiga pertempuran pada 9 Oktober, lebih 400 penduduk Gaza terkorban manakala 2,300 lagi cedera apabila Israel membuat serangan balas yang dahsyat.

Lapor Al Jazeera, Israel melancarkan serangan di lebih 500 sasaran di Semenanjung Gaza, manakala pertempuran sengit dengan pejuang Hamas berterusan di beberapa kawasan di selatan Israel.

Ketahui 10 fakta mengenai perkembangan terkini konflik terbaharu Israel-Palestin yang bermula dengan Operasi Taufan Al-Aqs ini sehingga Gaza terus bermandikan darah:

1. Pertempuran itu berlaku selepas keganasan Israel semakin meningkat di Tebing Barat. Tentera zionis kerap melakukan serbuan, serangan di jalanan terhadap rakyat Palestin selain peningkatan serangan oleh peneroka Yahudi di perkampungan Palestin.

2. Penindasan ke atas rakyat Palestin yang terkepung di Semenanjung Gaza bertambah buruk di bawah pemerintahan parti sayap kanan pimpinan, Benjamin Netanyahu, yang juga Perdana Menteri Israel.

3. Usaha mencari perdamaian telah terhenti selama bertahun-tahun malah penduduk Gaza hidup di bawah penindasan dan sekatan Israel selama 16 tahun.

4. Serangan terbesar Hamas terhadap Israel itu dan pertempuran yang meningkat di Semenanjung Gaza menyaksikan beberapa negara Arab lain termasuk Arab Saudi, Qatar, Oman dan Bahrain, menggesa Israel dan Palestin segera meredakan keadaan.

5. Gabungan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza dalam serangan Hamas berlaku ketika beberapa negara Arab giat dalam usaha menormalisasi atau berkerjasama dengan negara haram itu.

6. Presiden AS, Joe Biden, pula menawarkan segala sokongan yang sewajarnya kepada Israel menyusuli serangan itu dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bermusuh dengan Israel supaya tidak mengambil kesempatan.

7. Israel malah menyerang kawasan selatan Lubnan pada 8 Oktober lalu selepas kumpulan Hezbollah, sebuah parti yang disokong Iran menyasarkan tiga pos tentera Israel di Shebaa Farms yang merupakan antara kawasan yang dipertikai.

8. Tentera Israel pada 9 Oktober mendakwa berjaya menguasai semula semua bandar di sekitar pagar Gaza dengan 15 daripada 24 bandar di sempadan telah dipindahkan.

9. Masjid Muhammad Al Amin yang dibina pada 2013 hasil sumbangan rakyat Malaysia turut runtuh dan musnah sepenuhnya selepas dibom rejim zionis pada 7 Oktober.

10. Penduduk Gaza dilapor Al Jazeera memberitahu pengeboman Israel ke atas kawasan yang dikepung tidak berhenti “walaupun seminit”. Akibatnya, tidak ada tempat yang selamat untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Baca:

Lega isteri selamat bersalin ketika bom hujani Gaza tetapi balik rumah, ini pula yang terjadi

Heboh dah ada aiskrim vanila diperbuat daripada plastik, konon selamat dimakan tapi ramai ragu

‘Sweet’ je Ratu Jazz suap suami, rupanya dua kali masuk wad, kini dah pasang ‘stern’ dan dua belon