Ibu adalah cinta pertama yang tertanam di hati setiap anak, seperti cahaya matahari yang menyinari kehidupan anak-anak sejak kecil.
Kasih sayang seorang ibu ibarat permata yang tidak ternilai harganya, sentiasa ada dalam setiap langkah anak-anak.
Namun, pernahkah anak-anak terfikir bahawa satu hari nanti, momen-momen bahagia itu mungkin akan ‘terhenti’ dan hilang selamanya? I
ni mungkin bukan kerana kehendak kita, tetapi atas ketentuan-Nya. Walau bagaimana pun, nasihat berharga ibu akan terus menjadi pegangan hidup anak-anak hingga hembusan nafas terakhir.
Coretan seorang pengguna Facebook, Coach Bahar, menarik perhatian ramai apabila beliau berkongsi nasihat daripada arwah ibunya mengenai ‘rezeki’.
Setelah berkahwin, Coach Bahar memutuskan untuk menjaga ibunya dengan tinggal bersama di kampung, meninggalkan Shah Alam dan perniagaannya di sana. Menurutnya, keputusan untuk kembali ke kampung selepas berkahwin bukanlah sesuatu yang mudah.
“Apa yang kamu nak kerja di kampung ini? Jangan buat begitu,” kata ibunya suatu ketika dahulu. Namun, dia cuba meyakinkan ibunya bahawa rezeki boleh datang dari mana-mana sahaja. Walaupun pada masa itu dia sendiri tidak pasti apa yang akan dilakukan, keputusannya tetap muktamad.
“Saya tinggal di kampung dan berulang-alik sejauh lebih 150 km sehari dari Muar ke Parit Raja. Kemudian, jaraknya bertambah menjadi 300 km setiap pagi dari Muar ke Nusajaya. Namun, setiap hari saya mesti pulang ke rumah untuk memastikan ibu di bilik, sama ada sedang mengaji Al-Quran atau sudah tertidur,” ujarnya.
Katanya, keadaan ketika itu sangat sukar. Dia tidak mempunyai apa-apa dan terasa ‘kosong’ sehingga ‘jatuh terduduk’ kerana gagal dalam perniagaan. Ibunya adalah insan yang memberi nasihat tanpa henti, dan salah satu nasihat yang terkesan di hati adalah mengenai rezeki.
Berikut adalah nasihat yang dikongsikan yang mungkin membantu kita lebih kuat menghadapi cabaran hidup dan sentiasa percaya kepada rezeki Allah SWT.
Rezeki yang ditetapkan
“Mak pernah cakap, setiap makhluk bernyawa pasti ada rezekinya. Setiap orang ada rezekinya tanpa perlu mengambil rezeki orang lain. Bayangkan, walaupun mak sakit, ada orang yang menyuapkan mak makanan,” kata Coach Bahar mengenang nasihat ibunya. Kata-kata ini benar-benar ‘meresap’ di dalam hati, mengingatkan dirinya untuk tidak risau tentang rezeki yang sudah ditentukan oleh Allah.
Rezeki yang digantungkan
Pada awalnya, Coach Bahar kurang faham maksud ibunya dengan ‘rezeki yang digantungkan’. Namun, setelah menyemak tafsir Surah An-Najm: 39 yang bermaksud: “Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang diusahakannya”, dia mengerti mungkin itu yang cuba disampaikan ibunya.
Sabar dan syukur
“Mak pesan, dalam menghadapi halangan dan cabaran, kita perlu bersabar. Jika sukar untuk bersabar, bersyukurlah, kerana orang yang bersyukur akan dilipatgandakan rezekinya oleh Allah,” tulisnya dalam coretan itu.
Rezeki yang tidak disangka-sangka
Menurut Coach Bahar, ibunya berpesan bahawa kita tidak pernah tahu rezeki kita pada hari ini. Selalunya, rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka, dalam pelbagai bentuk. Contohnya, kita bertemu dengan orang yang baik, anak masuk universiti, atau dapat menikmati makanan yang diberi orang. Itu semua adalah rezeki.
Rezeki kerana istighfar dan selawat
“Mak pernah pesan, doa yang paling mustajab adalah ketika kita berdoa bersungguh-sungguh semasa hujan turun dan hati kita bergetar. Ketika segalanya diserahkan kepada kekuasaan Allah, maka Allah akan melipatgandakan harta dan rezeki kita,” katanya.
Rezeki kerana bernikah
Kata Coach Bahar, ketika dia bercadang untuk berkahwin pada usia 22 tahun, ibunya adalah orang yang paling menyokong keputusannya. Ramai yang terkejut dan merasakan belum tiba masanya, namun kata-kata ibu menguatkan dirinya. “Ada rezekinya,” kata Coach Bahar mengenang ucapan arwah ibu. Ternyata benar, dalam masa tujuh bulan sahaja, segala persiapan perkahwinannya siap. Dengan hanya menjual kuih raya, dia berjaya mengumpul RM70,000 bersih.
Rezeki kerana anak
Dikurniakan sembilan orang cahaya mata, Coach Bahar berkata bahawa arwah ibu adalah insan yang paling gembira. “Ada rezeki anak-anak,” katanya lagi mengenang ucapan arwah ibu. Ternyata, kata-kata ibunya terbukti kerana setiap kali anaknya lahir, ada perkara besar yang berlaku dalam hidupnya.
Irfan: Mendapat pekerjaan sebagai pensyarah dan dilantik sebagai ketua jabatan termuda.
Syamilla: Berjaya menyambung pelajaran ke United Kingdom.
Aina & Aifa: Kemenangan terbesar ialah dikurniakan anak kembar, satu rezeki besar.
Alya: Pulang ke Malaysia untuk memulakan hidup baru selepas kembali dari United Kingdom, dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Iman: Memulakan perniagaan hotel dan kopitiam.
Aisyah: Perniagaan semakin maju dengan pelbagai syarikat di bawah naungan.
Ikhwan: Bangkit semula setelah perniagaan lama jatuh dan bankrap.
Iqbal: Diterima bekerja dan diberi penghormatan dengan jawatan penting yang tidak pernah diimpikan, malah gaji setaraf JUSA.
Rezeki kerana bersedekah
Tambah Coach Bahar, ibunya selalu mengingatkan tentang kebaikan bersedekah. “Kamu tolong orang lain, Allah bukakan hati orang lain untuk tolong ibu di kampung,” kata Coach Bahar mengenang ucapan arwah ibu.
Nasihat ibunya terbukti ketika dia berulang-alik dari universiti ke Muar ketika arwah ayahnya sakit. Suatu malam, dia terlambat sampai ke stesen bas Pudu dan tiada bas ke universiti. Dia menelefon ibunya, dan ibunya menyuruhnya bersedekah.
Dengan duit yang ada, dia membeli makanan untuk diberikan kepada anak-anak gelandangan di kawasan stesen bas. Tanpa diduga, dia bertemu seseorang yang kebetulan naik van ke Kajang dan dia dapat menumpang sekali.
Rezeki memang ada di mana-mana. Jangan pernah risau tentang rezeki. Kami doakan sesiapa yang membaca dan berkongsi kisah ini akan dipermudah urusan dan dimurahkan rezeki. Berkongsi sesuatu yang baik juga adalah rezeki, bukan?
BACA:Â Rezeki terpijak! Lelaki beli lukisan berharga RM125 sebenarnya bernilai RM41 juta