Fokus Ekonomi Kerajaan Tertumpu kepada Manfaat Langsung Rakyat – Fahmi

Oleh ABDULLAH HAMID

BANGI – Kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja berterusan, malah mampu memberikan kesan positif secara langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya dalam menangani tekanan kos sara hidup dan memperkemas urusan perniagaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, usaha memudahkan aktiviti perniagaan perlu diperkukuh kerana ia menjadi antara pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil dan mampan.

Menurut beliau, komunikasi yang berkesan oleh kerajaan turut memainkan peranan penting supaya hasil kestabilan politik dan pentadbiran dapat dirasai rakyat, sejajar dengan apa yang digambarkan sebagai dividen kestabilan selepas lebih tiga tahun Kerajaan MADANI menerajui negara.

“Ketika ini, kita menyaksikan ringgit berada pada paras yang kukuh, aliran pelaburan menunjukkan peningkatan dan kadar pengangguran pula berada pada tahap terendah dalam tempoh 14 tahun. Semua ini mencerminkan bahawa ekonomi negara sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Pemukiman Kerajaan MADANI Tahun 2026, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pelbagai petunjuk ekonomi yang positif ketika ini mengesahkan bahawa dasar dan hala tuju ekonomi yang dilaksanakan kerajaan berada di landasan yang tepat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan ekonomi tidak seharusnya terhenti pada angka dan statistik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pulangan yang memberi kesejahteraan kepada rakyat.

“Pertumbuhan ekonomi mesti dipastikan kembali kepada rakyat dalam bentuk manfaat sebenar, agar kesejahteraan dan kualiti hidup mereka terus terpelihara,” katanya.