Fokus bukan hanya naik indeks media, tapi lindungi wartawan dari ancaman AI – Fahmi Fadzil. Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa matlamat utama kerajaan bukan sekadar mahu melihat Malaysia melonjak dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, tetapi lebih penting adalah melindungi pengamal media yang kini berdepan cabaran besar akibat kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut beliau, dunia kewartawanan kini sedang melalui satu fasa evolusi yang getir. Isu-isu seperti peluang pekerjaan semakin terhad, kebajikan wartawan yang masih belum terjamin, serta kebimbangan terhadap AI yang berpotensi menggantikan tugas manusia, memerlukan perhatian segera dari semua pihak.
“Isu ini bukan kecil. AI bukan sahaja mengubah cara kita bekerja, malah ia juga menimbulkan persoalan — adakah wartawan akan diganti robot? Ini yang kita mahu hadapi bersama,” katanya selepas menghadiri Kempen Kesihatan Awam Universiti Malaya: Kencing Manis Bukan Halangan, hari ini.
Malaysia Naik 19 Anak Tangga – Kedudukan Ke-88 Dunia
Malaysia mencatatkan peningkatan membanggakan apabila naik 19 anak tangga dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 oleh Reporters Without Borders (RSF), menjadikan negara kini di tangga ke-88 — kedua tertinggi di ASEAN selepas Thailand.
Fahmi memaklumkan, pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada beberapa inisiatif kerajaan, antaranya penggubalan undang-undang bagi penubuhan Majlis Media Malaysia.
“Kami harap menjelang Hari Wartawan Nasional nanti, kita akan dapat bentuk majlis ini secara rasmi. Ini langkah awal yang positif untuk industri media kita,” ujarnya.
Perlu Garis Panduan AI Dalam Kewartawanan
Fahmi turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pengamal media seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), kelab-kelab wartawan dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi membincangkan keperluan garis panduan yang jelas dalam penggunaan AI dalam industri media.
“Kita tak mahu AI disalahguna sehingga menjejaskan ketepatan berita atau menyebarkan maklumat palsu. Sebab itu garis panduan dan pemahaman yang betul sangat penting,” jelasnya sambil menambah beliau akan cuba mengadakan pertemuan seawal minggu ini.
Isu 3R: Kebebasan Bersuara Ada Hadnya
Mengulas tentang kebimbangan RSF terhadap isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dalam laporan itu, Fahmi menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu seimbang dengan kepatuhan terhadap undang-undang negara.
“Kita tak boleh biarkan maklumat palsu yang menyentuh isu sensitif berleluasa sehingga mengancam ketenteraman awam. Wartawan dan rakyat ada hak bersuara, tapi dalam kerangka undang-undang,” tegasnya.
BACA JUGA :
Tak pernah terpalit dengan kontroversi, rupanya ini rahsia anak-anak Ngasri dengan wartawan
Isu kasino di Forest City, wartawan Bloomberg hadir beri keterangan
Membela rakyat susah, ada kata Anwar membosankan, ini pandangan bekas wartawan era 1990-an