Flotilla: Ardell kena tumbuk, PU Rahmat disuruh bogel

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR: Sukarelawan Malaysia, Ardell Aryana dilaporkan mengalami kecederaan selepas ditarik rambut dengan kasar dan ditumbuk di muka oleh tentera Israel ketika kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaikinya dipintas rejim Zionis minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin, yang merupakan salah seorang daripada lima barisan peguam mewakili 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan.

Menurut Fahmi, maklumat berhubung insiden berkenaan diperoleh hasil perbualan beliau bersama Ardell, atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, di Istanbul, Turkiye hari ini.

“Ardell memberitahu beliau dipukul dan ditarik rambut dengan kasar oleh tentera Israel ketika kapal mereka diserang. Tindakan itu menyebabkan kecederaan fizikal padanya,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Fahmi, beberapa sukarelawan lelaki termasuk Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) turut dimalukan apabila dipaksa menanggalkan pakaian oleh pihak tentera Zionis.

“Selain itu, sukarelawan wanita seperti Heliza dan Hazwani pula diberi minuman yang dipercayai air paip dari tandas ketika berada dalam tahanan. Keadaan air di penjara sangat kotor dan tidak layak diminum,” katanya.

Beliau berkata, selain dirinya, empat lagi peguam yang mewakili sukarelawan Malaysia ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, dan Luqman Mazlan.

Semua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan tentera Israel pada Khamis lalu dan dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev, sebelum dibebaskan hasil rundingan diplomatik kerajaan Malaysia.

Menurut Fahmi lagi, pihaknya kini sedang meneliti langkah untuk membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

“Kami akan mengumpul semua bukti dan keterangan daripada sukarelawan sebaik mereka pulang ke tanah air. Dengan bukti ini, kita boleh beri tekanan politik terhadap rejim Zionis dan mendesak siasatan rasmi dijalankan,” katanya.