Realtime website trackingweb stats

Felda kelirukan penyata hutang peneroka

Oleh ADINDA

Redhuan Esa

PELUPUSAN HUTANG : FELDA PERLU PERBETULKAN PENYATA HUTANG PENEROKA

Jangan main-main dengan tandatangan sesuatu perjanjian. Kerana satu perjanjian, zaman kesultanan Kedah terlepas tanah Pulau Pinang kepada Francis Light. Kerana satu perjanjian, apa juga pertikaian dan kerugian masa depan tidak mampu diganti atau diperbetulkan sebagaimana pengalaman warga FELDA sebelum ini.

Isu Perjanjian Pelarasan Pinjaman peneroka masih menjadi perbualan warga FELDA. Pada 24 Julai 2021, FELDA mengumumkan bahawa perjanjian akan ditambah baik dengan lampiran adendum. Peneroka astinya menunggu apakah pengisian adendum tersebut dan perlu diteliti supaya ia menepati keadaan menang-menang antara FELDA dan Peneroka.

Pada pendapat saya, isu asas kepada pelarasan pinjaman peneroka ini adalah ketelusan penyata yang dikeluarkan oleh FELDA berakhir 31 Disember 2019. FELDA masih gagal menjawab mengapa penyata yang dikeluarkan masih terdapat banyak kesalahan nilai. FELDA mengharapkan Peneroka atau pentadbir mengadu jika terdapat kesalahan. Apakah yang berlaku ketika FELDA dikatakan berkurung untuk menyiapkan penyata ini?

Laporan audit

Dimana laporan audit yang terbaru bagi mengesahkan bahawa nilai-nilai yang dimasukkan kedalam penyata adalah SAH dan dikenalpasti kesahihannya?

FELDA pastinya mengeluarkan kos yang besar melantik juruaudit bertauliah dari firma terkemuka negara. Malah FELDA juga perlu buktikan bahawa teguran dari Ketua Audit Negara melalui laporan kewangan 2018 telah diambil tindakfan, dan boleh juga FELDA menunggu sehingga parlimen dibuka untuk membentangkan laporan kewangan FELDA 2019.

FELDA dilihat mengambil mudah atau memandang ringan kesalahan nilai dalam penyata peneroka. Terdapat Peneroka yang tidak berhutang, tebang, tanam dan urus sendiri ladang, tiba-tiba dinyatakan berhutang RM30 ribu, kemudian dilupuskan. Dimana nilai intergriti jumlah pelupusan yang diumumkan ini?

Banyak lagi contoh kesalahan dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA. Perlu ditekankan disini, apabila satu akaun peneroka terdapat kesalahan nilai, maka keseluruhan penyata peneroka dalam rancangan tersebut perlu dibuat semula sehingga nilai-nilai tersebut dapat disahkan kedudukannya. Kita tidak mahu nilai-nilai tersebut dicampak dimasukkan ke dalam penyata peneroka lain dan dianggap lupus.

Penyata hutang mengelirukan

Isu muktamad penyata hutang ini sudah terlalu lama dan ia melibatkan pertukaran 3 Perdana Menteri, 4 Menteri, 5 Pengerusi dan hampir 10 DG FELDA. Banyak usaha kerajaan yang memerintah untuk membantu menyelesaikan masalah ini melibatkan peruntukan berbilion ringgit Malaysia. Tetapi amat menyedihkan, FELDA masih gagal menyediakan penyata hutang yang telus dan betul untuk peneroka. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Hutang adalah berkaitan syarak dimana surah yang panjang ditulis dalam Surah Al-Baqarah. Diajarkan oleh Allah s.w.t satu persatu dalam perjanjian hutang, mencatat nilai, saksi dan lain-lain. Warga FELDA 98% Melayu-Islam, sepatutnya lebih peka dan cakna perkara yang melibatkan agama.

Jangan kerana mengejar jumlah peneroka yang tandatangan, tuntutan syarak ditinggalkan, didiamkan, disapu bawah karpet. Jangan melaung inginkan keberkatan dengan menderma, tetapi tiada ketelusan dan kejujuran dalam mengeluarkan penyata perbelanjaan, hasil dan pinjaman peneroka.

Apakah komitmen FELDA untuk membetulkan penyata-penyata yang salah ini setelah peneroka tandatangan perjanjian?

Anggaplah tulisan saya ini sebagai satu tanggungjawab saya sebagai seorang muslim untuk menegur. Janganlah anggap saya sebagai “YAHUDI” kerana mempertikai apa yang FELDA laksanakan.

AMANAH DAN JUJUR MEMBAWA KEBERKATAN HIDUP WARGA FELDA

Ridhuan Esa
Generasi Ke 2 FELDA Sungai Sibol
Generasi Ke 2 FELDA Sri Jaya