KUALA LUMPUR, 31 Dis – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkongsi pencapaian utama Kementerian Komunikasi sepanjang tiga tahun pentadbirannya yang memberi impak besar kepada pembangunan ekosistem digital, infrastruktur teknologi, keselamatan Internet, industri kreatif serta penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.
Menerusi hantaran di media sosial bersama video ringkas, Fahmi merakamkan penghargaan atas sokongan rakyat dan menzahirkan komitmen untuk meneruskan usaha kementerian dengan semangat baharu menjelang 2026.
Dalam video berdurasi lebih dua minit itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah diwujudkan di seluruh negara, termasuk sebuah pusat yang masih dalam pembinaan.
Kemudahan NADI setakat ini telah dimanfaatkan oleh kira-kira 1.9 juta pengguna, sekali gus memperkukuh akses rakyat kepada maklumat serta perkhidmatan kerajaan.
Dari sudut perundangan, Kementerian Komunikasi turut mencatat pencapaian penting apabila beberapa rang undang-undang berjaya dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, antaranya pindaan Akta FINAS 2025, Akta Komunikasi dan Multimedia 2024, Akta BERNAMA 2024 serta Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024, bagi memperkemas tadbir urus sektor media dan komunikasi negara.
Dalam aspek teknologi, liputan rangkaian 5G kini mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk, manakala rangkaian 5G kedua merekodkan liputan sebanyak 61.3 peratus, selain Malaysia muncul sebagai negara pertama melaksanakan perjanjian Multi-Operator Core Network (MOCN) 4G enam hala.
Bagi merangsang pertumbuhan industri kreatif, kementerian melalui Dana Kandungan Kreatif dan Skim Dana Padanan telah menyokong ratusan projek penerbitan filem serta industri muzik, melibatkan 299 projek filem dan pemberian dana kepada 224 penggiat muzik.
Inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada pewujudan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam sektor kreatif.
Melalui Tabung Kasih@HAWANA yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), seramai 580 pengamal media telah menerima bantuan, mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan warga media.
Di peringkat antarabangsa, kementerian turut memperkukuh kerjasama global dengan menyertai persidangan telekomunikasi dunia, menjalinkan hubungan dua hala termasuk dengan Timor Leste, serta memeterai 15 memorandum persefahaman melibatkan 11 negara sepanjang 2025.
Bagi meningkatkan keselamatan Internet, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan secara meluas di ribuan sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti, melibatkan ratusan ribu pelajar serta peserta.
Selain itu, pengoperasian Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) turut memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana, dengan tiga unit sistem komunikasi mudah alih berasaskan satelit kini beroperasi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Menurut paparan mesej dalam video tersebut, kejayaan kementerian didorong oleh sokongan rakyat serta komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem komunikasi negara demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Malaysia.