Realtime website trackingweb stats

Doktrin salah politik suku, agama suku

Oleh ADINDA

Jamzuri Ardani

MENYEMAK SEMULA DOKTRIN ‘POLITIK SUKU AGAMA SUKU’

Kita sering dengar slogan berbunyi “Islam dan politik tidak boleh dipisahkan”, “politik suku agama suku boleh batal aqidah”, “Memisahkan politik dengan agama adalah fahaman sekular”, dan yang seumpamanya.

Dulu, saya pun sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan slogan-slogan seperti ini. Tetapi, bila saya mula meluaskan pembacaan, penganalisaan, dan sumber rujukan saya, sekarang saya faham bahawa ianya adalah satu bentuk salah faham.

Slogan itu tidak sepenuhnya salah, dan tidak juga sepenuhnya benar. Hakikatnya, ada aspek-aspek tertentu di dalam urusan politik yang tidak boleh dipisahkan dari agama dan ada juga aspek tertentu dalam politik yang tidak patut dicampur-adukkan dengan agama. Malah pemisahannya adalah dituntut oleh agama.

Antara yang tidak sepatutnya dicampur adukkan dengan agama ialah nama parti politik. Meletakkan agama dalam nama sesebuah parti politik adalah salah satu bentuk penyalahgunaan agama. Agama tidak sewajarnya dipenjara dalam kerangka operasi sebuah parti politik. Itu juga satu penghinaan terhadap kesucian agama.

Sekiranya ada undang-undang yang menghalang parti politik menggunakan nama Islam untuk parti tersebut, maka undang-undang itu tidak bercanggah dengan ajaran agama. Kalaupun mungkin ada yang memanggilnya sebagai ‘undang-undang sekular’, pada hakikatnya ia adalah undang-undang yang adil dan memelihara kesucian agama.

Sekiranya ada peraturan yang menentukan lesen dan denda ke atas premis perniagaan, maka premis kedai gambar dan premis kedai menjual kitab agama mestilah tertakluk dengan peraturan yang sama. Tidak wajar ada dua peraturan berbeza untuk kedai gambar dan kedai menjual kitab agama atas alasan kedai menjual buku agama mempunyai kemuliaan ke atas kedai-kedai lain dari sudut pandangan agama. Tidak wajar ada campur-aduk sentimen agama dalam urusan dan peraturan ini. Ini adalah contoh urusan pentadbiran (politik) yang perlu dipisahkan dari urusan agama.

Begitu juga dalam menentukan kenaikan pangkat kakitangan awam. Tidak boleh dibezakan kelayakan kenaikan pangkat seorang guru yang menutup aurat dengan seorang guru yang tidak menutup aurat atas alasan mereka yang menutup aurat itu lebih afdhal dari sudut pandangan agama. Apa yang seharus diambil kira ialah kompetensi dan prestasi guru tersebut di dalam melaksanakan tanggungjawab perguruannya. Urusan ini tidak wajar dicampur-aduk dengan penilaian agama terhadap individu tertentu.

Ini adalah beberapa contoh betapa urusan pentadbiran, undang-undang, dan politik yang wajar dipisahkan dari agama.

Pun begitu, memisahkan sepenuhnya semua urusan agama dari urusan politik juga tidak betul.

Mengadakan sesuatu upacara atau ritual agama tertentu seperti bacaan doa atau berselawat di dalam majlis rasmi kerajaan tidak sepatutnya dihalang kononnya atas alasan doktrin pemisahan agama dengan urusan pemerintahan. Sebaliknya, pemerintah wajar menggalakkan penghayatan amalan agama di kalangan rakyat melalui majlis-majlis rasmi kerajaan asalkan ianya tidak menjejaskan objektif majlis tersebut diadakan.

Menghalang kakitangan awam dari memakai pakaian tertentu seperti memakai pakaian menutup aurat seperti yang dibuat di beberapa negara barat adalah bercanggah dengan hak asasi. Pemahaman pemisahan antara urusan politik dan agama sehingga ke peringkat ini adalah keterlaluan.

Undang-undang tertentu yang menjadi rukun kehidupan beragama sebahagian juga perlu diselaraskan dan dicerakinkan di dalam keseluruhan sistem undang-undang negara secara harmoni.

Pendidikan agama juga perlu dimasukkan menjadi sebahagian dari agenda pendidikan negara. Ini antara urusan yang tidak boleh dipisahkan dari agama.

Saya kira banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu diteliti secara lebih terperinci untuk menentukan apa urusan politik yang tidak boleh dipisahkan dari agama, dan apa urusan yang perlu dipisahkan dari agama.

Kegagalan memahami kerangka ini dalam konteks kehidupan berpolitik dan beragama boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan di kalangan rakyat.

Wallahu a’lam!