Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 50 peratus bermula esok hingga 18 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, berkata tawaran itu tidak termasuk bagi kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan dalam tahun ini, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.
Beliau berkata orang awam boleh membuat bayaran saman itu menerusi portal rasmi PDRM dan aplikasi MyBayar Saman.
“Tawaran diskaun itu sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan ke arah memberikan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai ketika situasi wabak COVID-19.
“Sepanjang tempoh kempen ini, semua kaunter pembayaran saman di kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah akan ditutup bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
MyBayar Saman ialah aplikasi terbaharu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan orang ramai
membayar saman dengan mudah melalui portal dan aplikasi telefon berbanding kaedah sedia ada.
Azisman berkata aplikasi MyBayar Saman yang diperkenal PDRM juga dipertingkat bagi membolehkan syarikat dan entiti perniagaan mendaftar sebagai pengguna dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi itu.
Menurutnya, pengguna telefon bimbit boleh memuat turun aplikasi MyBayar Saman melalui Google Play Store, Apple Apps Store dan Huawei Gallery.
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]