PUTRAJAYA, 24 Julai 2025 – Di sebalik suara-suara lantang yang mengkritik Perdana Menteri, menghina bantuan tunai RM100, dan merancang himpunan “Turun Anwar” hujung minggu ini, fakta yang terpapar menceritakan sesuatu yang berbeza.
Data terkini yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan menerusi laman Parlimen mendedahkan bahawa negeri-negeri pembangkanglah sebenarnya paling ramai menikmati manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, semuanya negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) mencatat antara kadar penggunaan SARA tertinggi di seluruh negara.
Perlis mencatatkan kadar tertinggi dengan 96% tuntutan, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu masing-masing pada tahap 95%.
Secara keseluruhan, lebih 4.9 juta daripada 5.4 juta penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas di kedai runcit berdaftar sehingga 14 Julai lalu. Ini bersamaan 92 peratus kadar penggunaan, menggambarkan penerimaan tinggi rakyat terhadap bantuan bersasar yang disediakan kerajaan.
Ironinya, suara paling kuat menolak dan memperlekeh inisiatif kerajaan MADANI datang dari kawasan yang paling banyak menerima dan memanfaatkan bantuan tersebut.
Sejak April lalu, jumlah penerima SARA telah ditingkatkan secara besar-besaran – daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang, menjadikan bantuan ini antara yang paling meluas dan inklusif dalam sejarah pelaksanaan program kebajikan negara.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan kehairanan apabila ada ahli Parlimen yang mempersoalkan nilai bantuan RM100 secara one-off, tanpa memahami konteks dan skala sebenar pakej bantuan keseluruhan termasuk SARA dan STR.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa segala bantuan yang diumumkan bukanlah bersifat populis atau bersendirian, sebaliknya satu rangka kerja menyeluruh untuk memulangkan semula hasil pemulihan ekonomi kepada rakyat, khususnya golongan rentan yang amat memerlukan.
Langkah ini dilihat selari dengan dasar penyasaran subsidi kerajaan – memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar layak, tanpa mengira sempadan politik.
Realitinya jelas, di sebalik retorik politik dan himpunan protes, manfaat tetap mengalir ke kawasan yang menolak Perdana Menteri kerana bantuan dari kerajaan mensasarkan seluruh rakyat dan ‘buta’ politik kepartian.