Setiap detik penderitaan mangsa genosid yang dirakam lensa kameranya mengetuk naluri kemanusiaan warga dunia sehinggakan beliau diiktiraf sebagai ‘Man of the Year’.
Motaz Azaiza dinamakan sebagai ‘Man of the Year’ oleh majalah fesyen dan gaya terkenal GQ Middle East.
Majalah itu berkongsi muka depan di laman Instagram mereka dengan kapsyen yang berbunyi:
“GQ Middle East memberi penghormatan kepada Motaz Azaiza (@motaz_azaiza) sebagai ‘Man of the Year’,” katanya.
Sebelum ini, Motaz digelar ‘Eye of Palestine’ lantaran menjadi saksi mata kejahatan dan kekejaman Zionis Israel.
Beliau telah banyak merakamkan detik-detik mendebarkan hati dan meruntun jiwa tentang apa yang sebenarnya berlaku di Gaza.
Menerusi pelbagai platform media sosial, namanya dikenali seluruh dunia dan dihujani ribuan malah jutaan doa mengiringi setiap langkahnya.
Warga dunia tanpa mengira agama dan bangsa dilihat meninggalkan banyak komentar positif selain tentunya doa selamat semoga Motaz sentiasa selamat sepanjang siri pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dikepalai Benjamin Netanyahu itu berlangsung.
Antara rakaman video Motaz yang meruntun jiwa orang ramai apabila beliau dilihat berjalan di atas runtuhan bangunan dibedil pengganas Israel.
Penonton seterusnya dibawa kepada dua ibu muda yang bersama dua anak masing-masing.
Mereka duduk mendukung anak sambil hanya mampu menyaksikan kesan kemusnahan rumah mereka.
Itu antara yang dirakam oleh Motaz yang bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
Dalam muat naik Instagram peribadinya, @motaz_azazia bersama @unrwausa, beliau menulis:
“Saya tidak mempunyai kata-kata untuk anda, sebab itu saya mempertaruhkan nyawa saya untuk menunjukkan kepada anda semua yang saya lihat dan temui.
“Setiap detik yang saya abadikan adalah untuk anda, supaya dunia boleh bertindak,” katanya.
Selain potret, pemuda tinggi lampai ini turut merakamkan banyak video untuk dikongsi bersama.
Kebanyakannya menunjukkan rakaman kemusnahan besar di kawasan bangunan tinggi, rumah dan masjid.
Sementara itu, video yang mengusik nilai insani warga dunia menunjukkan rakaman dirinya bersama beberapa kanak-kanak Palestin dalam gaya damai sebagai tanda keamanan dengan kapsyen “Kami mengajar anda orang hidup”.
Sebelum konflik, beliau berkongsikan nuansa indah kehidupan seharian di Palestin. Bermula dari potret nenek berbalut selendang berbunga, anak-anak memanjat pokok, dan sebagainya.
Namun, pada masa ini, beliau menggesa dunia membantu menyediakan keperluan hidup untuk penduduk di Gaza.
“Setiap saat, saya tidak pasti saya boleh bertahan. Saya gembira anda berada di sini, tetapi tolong jangan hanya menonton kandungannya.
“Tolong berikan bantuan sekarang. Terima kasih dan minta doa untuk Gaza,” rayu Motaz.
Semua yang dilakukannya bertujuan untuk memastikan dunia dapat mendengar dan segera mengambil tindakan terhadap semua kekejaman yang berlaku kepada orang yang tidak bersalah.
Lantaran dedikasi dan iltizamnya menghantar mesej keamanan buat penduduk Gaza yang telah lama dizalimi Zionis, beliau terus menjadi perhatian warga dunia.
Baca:
Gelang bercahaya konsert Coldplay rupanya kena dipulangkan, terbukti satu negara ini memang jujur