Realtime website trackingweb stats

Dengan hanya modal RM2, suri rumah raih pendapatan RM41 juta, ini caranya

Oleh SHAZLIN AZIZ

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM2, seorang suri rumah berjaya bergelar jutawan sekelip mata selepas memperoleh pulangan jutaan ringgit.

Wanita yang berasal dari Sabah itu tidak dapat tidur dengan lena selama beberapa hati sejurus dikhabarkan bakal menerima wang berjumlah RM41.45 juta.

Terasa bagai mimpi, suri rumah berkenaan rupa-rupanya berhasil memperoleh wang tersebut dengan menyertai pertaruhan ramalan nombor ekor.

Sekadar mencuba nasib, pertaruhan wanita berusia 54 tahun itu membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai pemenang Supreme Toto 6/58 Jackpot.

Menurut suri rumah tersebut, kemenangannya pada Rabu itu hanya disedari tiga hari kemudian ketika memeriksa nombor menggunakan mesin CheckWin.

Dengan hanya modal RM2, suri rumah raih pendapatan RM41 juta, ini caranya

“Berita baik ini menyebabkan saya tidak dapat tidur beberapa hari selepas mengetahui bahawa saya pemenang Jackpot RM41.45 juta.

“Sebagai suri rumah, bermain permainan lotto sudah menjadi kegemaran saya kerana saya suka mencampur dan memadankan nombor.

“Saya hanya bertaruh sekali sekala apabila mengikuti suami membeli nombor,” kata wanita tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sports Toto Malaysia.

Wanita yang menuntut hadiahnya di ibu pejabat Kuala Lumpur itu mengakui bahawa set nombor yang dibeli itu membawa tuah kepada dirinya.

Maklumnya, nombor tersebut (1, 9, 12, 17, 28 dan; 38) merupakan gabungan beberapa angka bertuah dan juga hari lahir ahli keluarganya.

Hadir bersama anak perempuan dan juga suami, suri rumah itu bagaimanapun belum mempunyai sebarang perancangan untuk membelanjakan wang tersebut.

“Saya masih tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan durian runtuh ini. Saya rasa saya akan berkongsinya dengan suami dan anak saya.” Jelasnya.

Difahamkan, wanita tersebut hanya mengeluarkan wang RM2 untuk membeli tiket Supreme Toto 6/58 yang membawa pulangan sebanyak RM41,450,150.65.

Namun perlu diingatkan bahawa kesemua jenis kegiatan yang menjurus kepada perjudian adalah satu aktiviti haram menurut agama Islam.

Kegiatan ini juga memberi pengaruh yang buruk di dalam kehidupan kerana ia dikuatiri boleh menjerumuskan manusia ke dalam lembah ketagihan.

Baca juga: Betul ke makan paracetamol boleh rosak buah pinggang, ini penjelasan pakar