KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata delegasi Malaysia amat terkesan dengan kemajuan teknologi Ethiopia, selepas disambut secara istimewa oleh Perdana Menteri negara itu, Dr Abiy Ahmed Ali, sejurus tiba di Addis Ababa.
Dr Abiy sendiri memandu kenderaan yang membawa rombongan Malaysia menuju ke Muzium Sains Ethiopia, sebuah pusat yang menampilkan evolusi pembangunan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) yang giat diperkasakan di bawah kepimpinannya.
Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, rombongan turut dibawa melawat Friendship Park, sebuah lokasi riadah lengkap dengan zoo, arkib sejarah negara dan kemudahan rekreasi yang menjadi tarikan penduduk tempatan.
Beliau berkata, layanan mesra kerajaan Ethiopia amat dihargai, terutamanya ketika kedua-dua negara sedang memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.
Lawatan ke Ethiopia merupakan persinggahan pertama dalam rangka lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Afrika. Kunjungan selama tiga hari ke Addis Ababa itu diadakan atas jemputan Dr Abiy dan bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Ethiopia yang terjalin sejak 1965.
Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Ethiopia, yang merupakan negara tanpa pesisir paling ramai penduduk di dunia, tersenarai sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di Afrika pada 2023.
Tahun lalu, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia mencecah RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia berjumlah RM358.6 juta — peningkatan 24.6 peratus berbanding 2022.
Selepas mengakhiri lawatan di Ethiopia, Anwar akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 November, sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Kenya.