Sebuah keluarga yang dihalau keluarga mentua di Segamat gara-gara menghidap penyakit tibi sehingga terpaksa tinggal dalam kereta selama dua bulan, kini menumpang di rumah pusaka ibu di Johor Bahru.
Mohd. Faisal Kamarozaman, 36, berkata, mereka sekeluarga mendapatkan segala ubat-ubatan dan rawatan dari Klinik Kesihatan Larkin.
“Kami berhijrah ke Johor Bahru untuk mencari rezeki memandangkan di Segamat tiada siapa mahu menerima kami.
“Saya kini bekerja sebagai pemandu jurujual dan masih mengekalkan prosedur pemakaian penutup mulut serta jarak bagi mengelak jangkitan.
“Saya tiada pilihan. Saya perlu keluar bekerja untuk mencari sesuap rezeki menyara isteri serta anak-anak,” lapor Kosmo.
Faisal menambah isterinya Susilawati Asmarajaya, 29, yang tidak menghidap tibi bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Segamat terpaksa berhenti kerja kerana menjaga anak-anak yang sakit sebelum ini.
“Buat masa ini, belum ada janji temu di hospital lagi untuk kami anak-beranak. Semua fail kesihatan di Hospital Segamat.
“Alhamdulillah, kami menerima bantuan kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan berjumlah RM550, tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian,” katanya.
Sementara itu, Susilawati memberitahu, sebelum ini Faisal membantu adiknya berniaga burger di Johor Bahru, tetapi dengan keadaannya yang masih menghidap tibi, dia tidak dapat bekerja lagi atas nasihat doktor.
Sebelum ini, kisah keluarga tersebut tular di media sosial apabila ditemui meletakkan kereta di salah sebuah stesen minyak berdekatan Hospital Segamat.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Faisal menerusi talian 016-728 6831 atau isterinya, Susilawati 011-73429634 atau akaun CIMB 7629120542 (Susilawati).
Baca:
Afieq Shazwan rupanya seminggu murung babak ‘panas’ dikecam, ini nasihat Kak Fasha
Penolong pegawai penyiasat trafik sanggup datang rumah, ini makna mudahkan urusan orang