DAP Akan Temui PM Bincang Pengiktirafan UEC – Nga Kor Ming

Oleh NURAIMAN

TAIPING – Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengutarakan permohonan agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diberi pengiktirafan rasmi.

Beliau menegaskan bahawa pendirian DAP mengenai usaha tersebut tidak pernah berubah, sambil menyeru masyarakat Cina supaya bertenang dan tidak berasa gusar terhadap perkembangan isu berkenaan.

“Kami mendengar aspirasi masyarakat Cina. DAP akan melakukan penilaian secara rendah hati dan meneruskan usaha memastikan negara terus bergerak ke hadapan,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily ketika berucap pada majlis makan malam amal Sekolah Menengah Hua Lian di Taiping.

Kenyataan itu merupakan respons proaktif pertama DAP mengenai UEC selepas kekalahan besar parti tersebut dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, di mana DAP tewas di kesemua kerusi termasuk kawasan bandar yang sebelum ini dianggap kubu kuat.

Isu pengiktirafan UEC bukan baharu dalam agenda politik Pakatan Harapan (PH). Pada Pilihan Raya Umum 2018, gabungan itu memasukkan komitmen tersebut dalam manifesto, yang antara lain mencadangkan bahawa pelajar sekolah persendirian yang memperoleh kepujian dalam subjek Bahasa Melayu SPM boleh memohon ke institusi pengajian tinggi awam menggunakan keputusan UEC.

Manifesto PRU15 pada 2022 turut mengulangi janji sama walaupun mencetuskan perbahasan dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, juga sebelum ini berkali-kali menegaskan bahawa PH tidak pernah meninggalkan agenda pengiktirafan UEC dan tetap berpegang kepada pendirian tersebut.