Realtime website trackingweb stats

Dah suami pula ‘dimadukan’, rupanya inilah masalah nikah di selatan Thailand

Oleh SHAZLIN AZIZ

Dah suami pula ‘dimadukan’, rupanya inilah masalah nikah di selatan Thailand.

Tindakan bernikah di selatan Thailand dengan mengambil tempoh beberapa tahun pula untuk menyelesaikan urusan pendaftaran perkahwinan di negara ini memang mengundang masalah besar.

Itu yang dialami peniaga, Rahaman Mohamed Jaafar, 47, apabila mendakwa telah ‘dimadukan’ isterinya selepas hanya beberapa bulan mendapat sijil nikah.

Beliau mendedahkan telah berkahwin dengan seorang wanita berusia 32 tahun pada Januari 2019 di Narathiwat, Thailand, sebelum isterinya menghilangkan diri selepas keluar dari rumah, Januari lalu.

Kata Rahaman, perkahwinan mereka sah mengikut hukum syarak oleh Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah pada 6 Jun lalu dan didaftarkan di Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah.

Menurutnya, beliau hanya mendapat tahu isterinya telah berkahwin menerusi media sosial pada April lalu dan perkara itu agak mengejutkannya kerana beliau tidak pernah menceraikan isterinya.

“Selepas saya membuat semakan, saya dapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April lalu.

“Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya,” lapor Harian Metro, 13 September 2023.

Susulan mengetahui dia ‘dimadukan’ isteri, Rahaman berkata, tuntutan faraq nikah telah difailkan antara isterinya dengan suami kedua.

“Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Ogos lalu membuat keputusan memerintahkan isteri saya selaku defendan pertama dan suami keduanya yang juga defendan kedua difaraqkan sementara.

“Mereka tidak dibenarkan tinggal bersama sebagai suami isteri sehingga kes kami selesai dibicarakan,” katanya.

Sebelum tu, Rahaman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, di sini, hari ini untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya.

Hakim, Ahmad Hariri Mohd Saat kemudiannya memberikan tempoh 14 hari kepada Rahaman untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan isterinya.

Rahaman yang diwakili peguam, Marzuqi Muhamad menegaskan, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan sehingga kini mereka masih suami isteri.

“Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya ‘dimadukan’.

“Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya kerana perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini,” katanya.

Baca:

Kecoh netizen Indonesia marahkan Malaysia, tuduh ciplak lagu Halo-Halo Bandung

Sedar tak tempoh menunggu di hospital dah makin singkat? Jauh sangat beza dengan sebelum ini

Wanita ini kongsi realiti sebenar kerja di Korea, terus tak jadi nak pergi