Menjemur pakaian di balkoni rumah adalah amalan yang biasa dilakukan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan bertingkat.
Namun, amalan ini boleh menimbulkan beberapa isu, termasuk masalah keselamatan, kesan buruk terhadap suasana dan keselesaan, serta nilai estetika.
Perlu diingat bahawa terdapat peraturan atau undang-undang yang melarang atau menghadkan aktiviti menjemur pakaian di balkoni.
Seorang perunding hartanah di platform X menjelaskan bahawa Akta Strata 2013 tidak membenarkan penduduk menjemur pakaian di kawasan balkoni rumah yang berada di bawah hak milik strata.
Menurut individu tersebut, amalan ini boleh menyebabkan keadaan bangunan kelihatan tidak kemas dan seterusnya mengurangkan nilai hartanah.
Hak milik strata merujuk kepada bentuk pemilikan untuk bangunan atau blok bertingkat serta petak tanah yang dibangunkan di atas satu plot tanah, seperti rumah flat, pangsapuri, kondominium, dan townhouse.
Akta Pengurusan Strata 2013 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 diperkenalkan untuk mengurus dan menyelenggara bangunan strata serta harta bersama dengan baik.
Jadual Ketiga dalam Akta ini merangkumi peraturan mengenai pengurusan, pemilik, harta bersama, kenderaan, pelupusan sisa, pengubahsuaian, dan kecacatan petak yang memberi kesan kepada sokongan dan perlindungan.
Walau bagaimanapun, peraturan khusus mengenai jemuran di balkoni tidak dinyatakan dengan jelas dalam Jadual Ketiga.
Namun, Seksyen 15 Bahagian 3 (Pemilik) menyatakan bahawa jemuran tidak boleh digantung sehingga melunjur keluar dari petak rumah.
Ini bermakna menjemur pakaian di balkoni tidak dilarang sepenuhnya, tetapi ia perlu dilakukan di kawasan yang sesuai dan hanya untuk tempoh yang munasabah.
Menjemur pakaian di atas railing atau pagar balkoni boleh menyebabkan ia terkeluar dari kawasan rumah individu dan melanggar peraturan yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.
BACA: Alif Teega tenang urus perniagaan sambil diuji dengan tuntutan cerai undang perhatian netizen