Realtime website trackingweb stats

Covid-19 dijangka melonjak, Amerika Syarikat dah mula gelabah cari kit ujian koronavirus

Oleh FATIN AQILAH

Baru saja pada Mei lalu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membenarkan darurat kesihatan awam untuk Covid-19 tamat.

Namun, menjelang musim sejuk ini, AS kembali bimbang dengan menjangkakan kes Covid-19 akan melonjak.

Sehubungan itu, kerajaan AS mengumumkan penawaran semula program ujian koronavirus percuma kepada rakyat secara pos.

Pengumuman terbaharu kerajaan AS itu ketika Setiausaha Kesihatan Biden, Xavier Becerra, berusaha menarik minat rakyatnya terhadap vaksin Covid-19 yang baru diluluskan dengan mendapatkan suntikan Covid-19 dan selesema sendiri di farmasi CVS di Washington.

Sebanyak AS$600 juta (RM2.81 bilion) dibelanjakan untuk membeli kit ujian daripada pengeluar domestik.

Laman sesawang program itu, covidtests.gov, pula akan mula menerima tempahan mulai 25 September, dengan setiap rumah menerima empat kit ujian.

Peruntukan itu akan membiayai pembelian 200 juta kit ujian termasuk memastikan bekalan sentiasa diperoleh, menurut Penolong Setiausaha Kesiapsiagaan dan Tindak Balas di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Dawn O’Connell.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan menambah kapasiti pengeluaran domestik sekiranya Covid-19 menjadi lebih serius.

Jika permintaan meningkat, kata O’Connell, jabatannya sudah memberi kebenaran kepada kerajaan untuk terus menjual ujian itu kepada orang ramai.

Pada masa ini, penularan Covid-19 di AS kekal rendah berbanding tempoh awal pandemik itu.

Ujian percuma pula menjadi lebih sukar untuk diperoleh bagi kebanyakan rakyat AS.

Walau bagaimanapun, kemasukan ke hospital akibat Covid-19 menunjukkan trend yang meningkat.

Sebelum ini, AS mengkehendaki penanggung insurans swasta menanggung sehingga lapan ujian di rumah setiap bulan.

Sejak awal tahun lalu, kerajaan mula menawarkan ujian Covid-19 di rumah percuma melalui Perkhidmatan Pos ekoran kenaikan kes varian Omicron.

Lebih 600 juta ujian diedarkan sebelum pegawai menghentikan program itu lewat musim panas, dengan alasan kekurangan dana.

Tawaran ujian tersebut kemudiannya disambung semula lewat tahun lalu sebelum menghentikan program itu sekali lagi pada musim bunga.

Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mengesyorkan semua rakyat AS yang berumur enam bulan ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 yang dirumus semula daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Baca:

10 fakta unik peminat kucing wajib tahu, barulah faham setiap gerak geri si oyen ni

Ramai takut dengan polis tapi mereka pun manusia biasa, tindakan PDRM ini raih pujian ramai

Ada di gigi empangan saja, ketahui 11 fakta menarik Masjid Lama Machap