Realtime website trackingweb stats

Cikgu Fadli dah ‘letih’, ini sebabnya silibus KBAT seawal Tahap 1 wajib dimansuhkan

Oleh ABDULLAH HAMID

Heboh di media sosial apabila Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh mengumumkan bersara awal selepas beliau dilihat ‘letih’ membantah silibus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seawal Tahap 1.

Walaupun beliau tidak menyatakan itu sebabnya dia berundur diri dari menyumbang bakti di sekolah tetapi umum tahu Cikgu Fadli lantang mengkritik pelaksanaan KBAT untuk murid sekolah rendah.

Keputusannya ‘menarik brek’ sebagai guru di sekolah kebangsaan itu dibuat selepas 18 tahun beliau berkhidmat sebagai guru.

Cikgu Fadli dah 'letih', ini sebabnya silibus KBAT seawal Tahap 1 wajib dimansuhkan

“Dan akhirnya, tarikh ini tiba jua. Izinkan daku mengundur diri. Terima kasih dan maaf atas segalanya,” katanya pada 6 Februari 2024.

Cikgu Fadli turut menyertakan gambar sambutan majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor di Facebook rasminya.

Bebanan guru dan murid sekolah rendah akibat KBAT menyaksikan ramai murid kecundang dalam menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M).

Membaca, menulis dan mengira pun masih merangkak tetapi murid ‘didera’ untuk memahami dan menganalisis soalan beraras tinggi.

Akibatnya, ramai murid ketinggalan dari sudut pembelajaran dan terjejas potensi perkembangan kognitif akibat diasak dengan silibus melampau sukar sejak Tahun Satu.

Bukan sahaja dalam matapelajaran Matematik, subjek Bahasa Melayu Tahun Dua contohnya, sudah memaksa murid memahami konsep isi tersirat.

Malah, KBAT yang sudah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sejak 2013 menyaksikan sebahagian generasi pelajar sekolah menengah hari ini tidak berminat untuk belajar dan mengambil SPM.

Sebelum ini, tular kisah Cikgu Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.

Beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap keupayaan pelajar.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan terdahulu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Cikgu Fadli juga kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

Namun, beliau memberitahu keputusannya untuk bersara awal bukan kerana kecewa dengan dengan Kementerian Pendidikan.

Katanya, beliau mahu mengelakkan isu lain pada masa hadapan.

“Saya terlalu sayangkan KPM dan dunia pendidikan. Cuma adab Melayu, bila bertandang ke rumah orang, tidak molek kita membuat onar sesuka hati.

“Saya tak mahu jadi tetamu yang biadab terhadap tuan rumah yang baik hati. Kerana kasih dan menghormati tuan rumah saya undur diri,” katanya.

Tambah Cikgu Fadli lagi, beliau akan terus berada dalam bidang pendidikan dan akan kekal bersuara.

Baca:

Ramai puji PMX elak guna Mercedes kerana dipercayai bagi sumbangan kepada zionis Israel

Tapak rumah allahyarham Sudirman kini tinggal tangga sahaja

Kadang dia Aqilah, ada masa jadi Daus – Jenuh jurutera ini ‘berperang’ dengan diri