Realtime website trackingweb stats

Cerita di sebalik kemusnahan Hutan Simpan Tasik Chini

Oleh ADINDA

CERITA DI SEBALIK KEMUSNAHAN HUTAN SIMPAN TASIK CHINI

Oleh KHAIDIR AHMAD
(Wartawan Tua)

Tasik Chini adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia selepas Tasik Bera.
Ia telah diwartakan sebagai Rizab Biosphera UNESCO.

Tasik Chini telah dianugerahkan status Rizab Biosfera yang pertama di Malaysia oleh UNESCO pada Mei 2009. Rizab Biosfera Tasik Chini adalah gabungan ekosistem tanah bencah air tawar tropika dan hutan hujan tropika tanah pamah dipterokarpa yang diiktiraf oleh Program UNESCO `Manusia dan Biosfera’

Kali terakhir saya “bermain” di Tasik Chini pada tahun 1996 – iaitu membuat liputan berita sambil menjaring ikan Lemei (panggilan orang Pahang tetapi di Perak dikenali dengan nama ikan Lome) bersama penduduk tempatan.

Ketika itu, isunya cuma paras air tasik surut sedikit, yang berpunca daripada kesilapan teknikal dalam pembinaan empangan baharu bagi menyalur limpahan air (overflows) ke Sungai Pahang ketika musim hujan.
Keadaan itu juga menyebabkan kadar pertumbuhan lumut di dasar tasik meningkat dan menyulitkan nelayan tradisional di situ mencari ikan.

Kemudian pada tahun 2006 saya berkunjung ke Tasik Chini buat kali terakhir bagi membuat liputan aduan penduduk setempat mengenai kegiatan pembalakan yang mula menghampiri Hutan Simpan yang menjadi Zon Penampan Tasik Chini.
(Setahun selepas tugasan liputan itu saya ditukarkan ke Sri Pentas kerana kenaikan pangkat daripada Pengurus TV3 Wilayah Timur kepada Ketua Pengarang Berita TV3).

Kini, selepas 15 tahun tugasan terakhir itu, saya benar-benar terkejut apabila melihat foto terkini pemandangan sekitar Tasik Chini – yang umpama dibom dari udara!

Dikatakan ini keadaan terkini di Tasik Chini, Pekan, Pahang.

Dahsyat sungguh kerakusan dan kemusnahan ini hingga tidak terduga dek akal fikiran manusia yang waras!
Beberapa hari lalu saya terbaca laporan portal berita Malaysiakini mengenai kelulusan lombong baharu berhampiran Tasik Chini oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada sebuah syarikat berkaitan “kerabat”.

Pembabitan “kerabat” atau “Istana” dalam kegiatan pembalakan dan perlombongan bukan perkara baharu di Tanah Melayu. Ia sudah diketahui umum berlaku sejak zaman penjajahan British lagi.

Namun, pembabitan “orang politik” yang bersekongkol atau menggunakan nama “kerabat” dan “Istana” dalam kegiatan membalak dan melombong bijih pada alaf baharu ini mungkin masih ramai yang tidak mengetahuinya – walaupun ia sudah lama berlaku di Malaysia, terutama dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.

Lebih buruk, dalam kes tertentu “usahasama orang politik dan kerabat / Istana” ini lebih banyak menguntungkan “orang politik” yang mempunyai hubungan langsung atau “dalam tangan” dengan pihak pentadbir di lapangan yang mengendalikan proses dokumentasi bagi kelulusan lesen pembalakan dan perlombongan.

Malaysiakini
Kerajaan Pahang telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat berkaitan keluarga kerabat. Kawasan seluas 40.51 hektar itu hanya tiga kilometer (km) daripada tasik yang telah dirizabkan sebagai Tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Pada satu ketika, ada “orang politik” yang berani menjual nama “Tuanku” untuk menjalankan kerja-kerja pembalakan dan perlombongan di kawasan yang belum mendapat kelulusan secara rasmi. Ia tidak mustahil berlaku apabila pihak pentadbir dan penguatkuasa di lapangan turut diberi “habuan” bagi menutup mulut, mata dan telinga serta “mengikat” tangan dan kaki masing-masing.

Jika segala bentuk penyelewengan, salahguna nama dan kuasa serta rasuah ini dibiarkan terus berleluasa – bukan sahaja dalam sektor pembalakan dan perlombongan – maka rakyat akan terus melihat kemusnahan demi kemusnahan ini berlaku di seluruh negara.

Satu ciapan di Twitter, pelakon kelahiran Temerloh, Amerul Affendi berkata, adalah tidak menarik melihat pemandangan kawasan di sekitar tasik kedua terbesar di Malaysia itu ‘tidak diterangi’ secara keseluruhan.

Oleh itu, kita sebagai rakyat yang akan terkesan dengan segala bentuk kemusnahan alam dek kerakusan yang semakin hari semakin luarbiasa ini – perlu bangkit dengan apa cara sekalipun bagi menyekat kemungkaran ini daripada terus berlaku.

Kalau tidak berdaya menghalang dengan tangan, kita bersama-sama bongkar dan paparkan kemusnahan ini di media sosial. Kalau tidak berdaya juga, kita bersama-sama menyokong dan mempertahankan orang yang berani melaporkannya. Dan akhirnya kalau tidak berdaya juga, kita bersama-samalah berdoa semoga Allah memberi kejayaan kepada perjuangan bagi menghapuskan segala bentuk kemungkaran yang membawa kepada kemusnahan ini.

Kepada Allah kita berserah. Wallahuaklam bissawab.

#wartawantua
#alammarhaen
#savetasikchini

 

 

KHAIDIR AHMAD dengan nama penanya Wartawan Tua merupakan bekas Ketua Pengarang Berita TV3 dan pernah bertanding di dua buah kerusi iaitu Parlimen Temerloh (P.088) dan Dun Lanchang (N31) untuk PRU14 atas tiket calon Bebas.  Menjadi Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia dan Pengerusi Persatuan  Penternak dan Peniaga Ikan Sangkar Temerloh Pahang(2017-hingga sekarang) seorang penulis bebas dan usahawan tani.