Jika kereta anda sudah melepasi tempoh jaminan, sangat penting untuk pemilik memahami dan mengikuti beberapa tip penjagaan supaya kereta tetap dalam keadaan baik dan tidak mudah rosak.
Dikongsi oleh JDMH Autoservice, berikut adalah panduan penting bagi anda yang ingin memastikan kereta tahan lama
serta mengelakkan kerosakan yang mengejut, terutama di tempat yang sukar mendapatkan bengkel.
Mengetahui sedikit sebanyak tentang komponen penting kereta akan memudahkan anda melakukan penyelenggaraan berkala,
Terutamanya untuk kereta yang sudah tamat tempoh ‘warranty’.
1. Minyak Hitam
Minyak hitam bukan sintetik perlu ditukar setiap 5,000km perjalanan atau setiap 3 bulan. Untuk minyak hitam sintetik, ia boleh bertahan antara 7,500km hingga 10,000km.
2. Penapis Minyak (Filter)
Penapis minyak enjin perlu ditukar bersama minyak mineral biasa selepas 5,000km, manakala untuk minyak sintetik, ia boleh ditukar selepas 7,500km hingga 10,000km.
3. Palam Pencucuh (Spark Plug)
Palam pencucuh disarankan ditukar setiap 20,000km mengikut buku penyelenggaraan. Namun, ia masih boleh digunakan hingga 30,000-40,000km. Jika lebih dari 40,000km, elektroda mungkin akan menipis dan perlu ditukar.
4. Bateri Kereta
Bateri biasanya bertahan antara 18 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada penggunaan. Jika anda rajin menambah air suling, bateri boleh bertahan lebih lama. Jika tidak dijaga, bateri boleh ‘kong’ dalam masa 6 bulan.
5. Penapis Udara (Air Filter)
Penapis udara perlu ditukar setiap 20,000km, kecuali jika anda menggunakan jenis K&N, yang hanya memerlukan pembersihan berkala.
6. Minyak Gear (Gear Oil)
Untuk transmisi manual, minyak gear perlu ditukar setiap 60,000km. Bagi kereta lebih dari 5 tahun, disarankan tukar setiap 20,000km, atau apabila gear mula terasa ketat. Minyak gear ATF untuk transmisi automatik perlu ditukar setiap 20,000km.
7. Cecair Brek dan Cecair Stereng Kuasa (Brake Fluid & Power Steering Fluid)
Jika rajin, cecair ini boleh dikeluarkan dan diganti baru setiap 60,000km.
8. Cecair Penyejuk Radiator (Radiator Coolant)
Tukar coolant setiap 60,000km. Jika air radiator berwarna jernih, ia mungkin hanya menggunakan air paip biasa, yang tidak baik untuk enjin. Gunakan coolant untuk prestasi lebih baik.
9. Tali Sawat Penyaman Udara dan Alternator (Air-Cond Belt / Alternator Belt)
Tali sawat ini perlu ditukar bersama tali sawat masa (timing belt). Periksa secara visual; jika terdapat rekahan halus, ia perlu ditukar segera.
10. Pam Air (Water Pump)
Pam air biasanya ditukar bersama kali kedua penukaran tali sawat masa, iaitu sekitar 160,000km.
Jadual penyelenggaraan berdasarkan jarak km atau masa (setiap 3 atau 6 bulan) bertujuan memudahkan pengguna mengurus penyelenggaraan kereta.
Preventive maintenance ini membantu mencegah kerosakan yang lebih besar di masa hadapan. Dengan menjaga perkara ini, kereta anda akan kekal dalam keadaan terbaik.
BACA: ‘Paksa pun saya tak akan buat’, Tok ti marah siapa tu?