Bursa Malaysia Disasar Raih 60 IPO, Modal Pasaran Capai RM30 Bilion Tahun Ini

Oleh NUR KASIH

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada trajektori positif untuk mencapai 60 tawaran awam permulaan (IPO) tahun ini, dengan nilai keseluruhan permodalan pasaran IPO di Bursa Malaysia dijangka mencecah RM30 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mahu melihat Bursa Malaysia bukan hanya menumpukan kepada bilangan IPO yang disenaraikan, tetapi turut memberi penekanan kepada saiz pengumpulan modal oleh syarikat yang menyertai pasaran.

“Saya percaya Bursa akan menyusun semula keutamaan mereka dengan memberi penekanan lebih besar kepada kemasukan syarikat-syarikat berskala besar, khususnya bagi mengukuhkan kedudukan Papan Utama,” katanya selepas menghadiri penyenaraian sulung Orkim Berhad di Papan Utama Bursa Malaysia pagi tadi.

Menurut beliau, kerajaan kini sedang mengadakan rundingan bersama pengurusan Bursa bagi menetapkan sasaran baharu yang bukan sahaja berbentuk angka, tetapi juga memberi tumpuan kepada penyertaan syarikat berkapasiti modal besar dalam pasaran modal negara.

Orkim muncul sebagai syarikat Bumiputera pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun ini.

Syarikat tersebut telah melalui proses pembangunan yang signifikan sejak dibimbing Ekuinas Nasional Berhad pada 2014, yang menurut Amir Hamzah, memainkan peranan penting dalam mentransformasi Orkim daripada pengendali marin sederhana kepada antara peneraju dalam sektor logistik maritim dan tenaga negara.

“Ekuinas bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi turut membantu memperkukuh struktur tadbir urus syarikat dan memperkenalkan idea serta strategi baharu yang memacu pertumbuhan Orkim,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Permodalan Nasional Berhad (PNB) kini mengambil alih pegangan ekuiti dalam Orkim, sekali gus mengekalkan pemilikan 60 peratus saham daripada Ekuinas, yang memastikan kedudukan syarikat sebagai entiti Bumiputera terus terpelihara.