Realtime website trackingweb stats

Bukan saja-saja, ini sebab kenapa tapak tin air gas direka melengkung

Oleh SHAZLIN AZIZ

Hari ini, pelbagai jenama dan perisa air berkarbonat atau berkarbonasi dijual luas di pasaran. Di mana-mana pasar raya atau kedai runcit, pasti terdapat jualan air minuman ini.

Sejak zaman dahulu, air berkarbonat telah menjadi pilihan ramai. Ada yang begitu menyukainya sehingga ia menjadi minuman ‘wajib’ harian.

Biasanya, air berkarbonat dijual dalam botol atau tin yang direka khas untuk menarik minat pengguna.

Namun begitu, terdapat bahagian khusus pada tin atau botol air berkarbonat yang direka untuk tujuan tertentu.

Contohnya, bahagian serong ke bawah yang ada pada tapak tin air berkarbonat.

Bukan saja-saja, ini sebab kenapa tapak tin air gas direka melengkung

Mengapa tapak tin air berkarbonat dibuat serong ke bawah? Ini bukan tanpa sebab.

Menurut portal Reader’s Digest, rekaan serong ke bawah itu bertujuan untuk menangani tekanan dalam tin air berkarbonat.

Walaupun tin itu diperbuat daripada aluminium nipis, rekaan serong tersebut membolehkan tin menahan tekanan sehingga 90 paun bagi setiap inci persegi. Ini sekitar enam kali tekanan atmosfera biasa. Rekaan ini juga membantu tin untuk mengawal gas dalamnya daripada meletup keluar.

Selain itu, bentuk serong ke bawah ini juga menjadikan tin air berkarbonat lebih stabil dan mudah disusun di dalam ruang sempit seperti dalam peti sejuk.

Itulah fungsi tapak tin air berkarbonat yang banyak orang tidak tahu.

Dalam video TikTok yang dimuat naik oleh @jordan_the_stallion8, pengguna ini juga berkongsi bahawa bahagian melengkung dan serong pada tapak tin air berkarbonat boleh digunakan untuk membuka penutup tin tersebut.

BACA: Ini cara perbaharui lesen dan cukai jalan atas talian buat ‘runner’ tak senang hati