Muhaimin Sulam
Sengaja hujung minggu itu saya lajakkan ziarah ke Pulau Melaka, sebuah perkampungan berhampiran di Kedai Lalat yang dikini ditukar namanya Kota Jembal. Nama Kedai Lalat disebut berulang-kali dalam novel Patriarch, karya Shahnon Ahmad. Entah mengapa Sasterawan Negara itu memilih nama tempat itu berbanding dengan tempat-tempat lain. Buku itu tulis pada tahun 1991 sarat dengan kritikan terhadap ahli politik yang pernah berkuasa dan kemudian mati. Itulah plot novel tersebut.
Pada tahun 1999, Shahnon Ahmad menang bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket Pas di parlimen Sik menentang Menteri Agama, Abdul Hamid bin Othman. Shahnon lebih mengetahui sepak terajang menjadi ahli politik seperti yang digambarkan dalam novel Patriarch itu. Ia tidak lagi menceritakan tentang watak Patriarch tetapi berdepan dengan Patriarch dalam kehidupan barunya sebagai ahli politik. Beliau hanya sepenggal sahaja sebagai ahli parlimen dan penglibatan dalam politik tidak menyerlah sebagaimana dunia sastera yang diceburi sekian lama.
Di tepi Sungai Pengkalan Datu di Pulau Melaka berhampiran Jambatan Tok Guru, di situlah terletaknya pusara milik Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 2014. Pusaranya di tepi tembok batu dan terdapat khemah usang di situ. Kami berdiri sambil membaca ayat-ayat suci untuk dihadiahkan dan titipkan doa buat arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T.
Ketika Tok Guru meninggal dunia, saya berada di tanah suci Madinah kerana menunaikan umrah. Berita itu tersebar di kalangan jemaah umrah Malaysia yang berada di situ. Masing-masing melahirkan rasa sedih atas pemergian seorang tokoh politik yang dihormati oleh kawan dan lawannya.
Di kuburnya tiada batu nisan seperti lain-lain kubur di situ. Hanya ada dua batu sungai yang berbentuk agak bulat diletak di atas kubur. Mengikut kepercayaan orang Melayu Islam, setiap makhluk ciptaan Allah SWT berzikir setiap waktu. Batu sungai seperti juga tumbuhan, pokok, rumput, gunung, laut adalah ciptaan Tuhan yang sememangnya berzikir. Dengan meletakkan batu sungai di kubur, harapannya adalah jenazah akan sentiasa diiringi zikir-zikir dua batu sungai di atas kubur itu.
Manakala batu nisan yang diperbuat oleh tangan-tangan manusia dianggap sekadar tanda kubur sahaja. Batu nisan buatan manusia tidak berzikir sebagaimana batu sungai yang dikatakan sebagai batu hidup. Batu hidup itu adalah persoalan sangat subjektif dalam kosmologi orang Melayu. Bagi mendapatkan batu tersebut, perlu memudiki di hulu sungai bagi menemui batu yang halus dihakis air dan bersaiz sederhana.
Memandang sekitar tanah perkuburan Pulau Melaka itu, ratusan batu nisan usang dan lama masih terpacak. Sebahagiannya sudah terhakis tulisan dan ukiran pada batu nisan tersebut. Batu nisan itu terdapat pelbagai bentuk. Secara umumnya, batu nisan lelaki berbentuk bulat dan manakala batu nisan milik perempuan berbentuk leper. Ini sememangnya tradisi orang Melayu dalam tata cara perkuburan.
Menurut sejarahnya, ketika wafatnya puteri kesayangan Nabi Muhamad SAW, Fatimah az Zahra, beliau dikebumikan oleh Saidana Ali KW pada waktu malam di tanah perkuburan Baqi bersebelahan Masjid Madinah al Munawarah. Sebelum wafat, Fatimah az Zahra berwasiat agar ia dikebumikan secara sembunyi dan dirahsiakan tapak perkuburannya dari pembesar Quraish (Abu Bakar dan Umar RA). Hingga kini, tiada siapa yang tahu kedudukan maqam milik puteri kesayangan Rasulllah SAW.
Mutawif kami memberitahu, bagi mengetahui di mana kedudukan maqam Fatimah az Zahra, lihatlah di mana burung merpati berhimpun. Pandangan itu suatu pandangan tidak boleh dipegang dan sekadar mengisi cerita kosong sahaja.
Batu nisan lama di tanah perkuburan itu kulihat satu persatu. Tulisan, bentuk dan ukiran yang ada pada nesan tersebut. Sekurang-kurangnya terdapat beberapa jenis batu nisan yang mempunyai keunikan tersendiri. Ciri-ciri batu nisan dipengaruhi oleh kemampuan ekonomi, perkembangan zaman, teknologi dan juga kepercayaan masyarakat setempat. Batu nisan di sini kebanyakan diperbuat daripada batu granite kelabu.
Manakala kubur yang baru kebanyakannya diperbuat daripada marble putih atau hitam dan terrazo. Ada juga tiang kayu dijadikan batu nisan. Ini tidak termasuk kubur yang hilang batu nisannya kerana ketiadaan jagaan daripada warisnya sendiri. Beza dengan batu nisan lama di tanah perkuburan negeri Melaka yang kebanyakan diperbuat daripada batu laterit atau batu lada merah.
Antara bentuk ukiran atau corak batu nisan yang ada di situ ialah batu nisan yang mempunyai corak bunga lapan kelopak, bulan sabit bersama bintang lima bucu, bintang lima bucu, daun sireh, bunga kelopak tiga dan empat. Biasanya bunga cempaka, teratai, tanjong menjadi corak pilihan dalam ukiran atau lakaran.
Di samping itu ada juga lakaran awan larat di tepi batu nisan tersebut. Ada sesetengahnya mempunyai sebarang corak yang ringkas sahaja seperti garis dan titik sahaja. Gaya awan larat Melayu dipercayai berasal dari pengamatan seniman Melayu yang mendalam terhadap alam sekeliling mereka.
Tompok-tompok awan yang bergerak di langit menghasilkan pelbagai bentuk dan corak yang menarik menjadi sumber inspirasi kepada pelukis, pengukir Melayu. Elemen-elemen alam yang biasa diawan laratkan ialah ombak, asap, awan, janggut manusia, kening, bulu mata, ekor ikan, jenis jenis ekor ayam, ekor burung, balung ayam, balung burung dan tumbuhan termasuk bunga-bungaan. Sebahagian lakaran ini dirakam dalam batu nisan di tanah perkuburan ini.
Pemilihan bulan sabit dan bintang lima bucu dikaitkan dengan unsur kesenian Islam yang melambangkan pengiraan tarikh Islam yang berasaskan peredaran bulan dan bintang lima bucu bagi menggambarkan jumlah rukun Islam.
Kubur Tok Guru Nik Aziz hanya ditanda dengan dua bongkah batu sungai. Tanpa nama dan tanpa butiran seperti kubur-kubur lain. Ini bukan soal sebuah kubur tidak bertanda dan bernama yang terletak pinggir Sungai Pengkalan Datu itu. Ini adalah tentang seorang tokoh besar yang telah meninggal dunia. Hebat mana kuasa yang ada, akhirnya ke tanah jua.
Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Manusia mati meninggalkan nama. Nama yang baik, diingati selalu kebaikannya. Tandanya bukan pada batu nisan tetapi terukir tersangat dalam hati insan. Semoga roh allahyarham Tok Guru dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Amin.
Dr. Muhaimin Sulam, seorang penyelidik sejarah dan sastera budaya.