BN tolak kerjasama dengan parti ‘musang berbulu ayam’. Barisan Nasional (BN) tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan parti lain, namun hanya mereka yang benar-benar sehaluan dalam membangunkan negara dan menyatukan rakyat akan dipertimbangkan sebagai rakan politik.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, walaupun BN kini menjalinkan kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah, gabungan itu tetap terbuka terhadap kerjasama baru — selagi ia selari dengan perjuangan dan nilai BN.
“Kita bukan tertutup, tapi jangan pula kita buka pintu seluas-luasnya… nanti ada musang berbulu ayam menyelinap masuk dan rosakkan rumah kita,” katanya secara sinis, merujuk kepada pihak yang berniat tidak baik.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Gerak17 UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong. Turut hadir, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kerjasama Rentas Parti Jadi Norma Baru Politik
Menurut Zahid, dunia kini menyaksikan perubahan besar dalam landskap politik, di mana pembentukan kerajaan melibatkan kerjasama rentas parti menjadi amalan biasa.
“Mengikut kajian saya, ada 77 negara yang tidak lagi mampu bentuk kerajaan secara dominan. Jadi, kita tidak boleh tamak kuasa. Kita perlu berkongsi kuasa demi kestabilan, perpaduan dan kesepakatan politik,” katanya lagi.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama antara BN, PH dan mana-mana parti yang mempunyai tujuan dan prinsip yang sama merupakan formula terbaik untuk mentadbir negara secara harmoni.
BN Sabah Digerakkan, Sasaran Menang PRN17
Dalam ucapannya juga, Zahid menyeru seluruh jentera UMNO Sabah untuk memperkemaskan gerak kerja dan menyatukan tenaga dalam memastikan kemenangan calon BN pada PRN17.
“Kerja keras, strategi jelas, dan semangat perpaduan antara kita adalah kunci untuk memastikan BN terus relevan dan diterima rakyat Sabah,” ujarnya penuh semangat.
BACA JUGA :
Lelaki memandu hampir 30 tahun tanpa lesen
Siapa sangka Malaysia ‘bagi duit’ kepada Indonesia cecah RM5 bilion
“Who is M Nasir?” Papan tanda iklan undang reaksi pengguna jalan raya