BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) menuntut pendirian yang jelas daripada MIC sama ada mahu terus kekal sebagai parti komponen gabungan itu atau berdepan keputusan yang akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi BN, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan, sehingga kini tiada keputusan muktamad dibuat mengenai kedudukan MIC walaupun wujud laporan dan salinan surat yang didakwa berkaitan permohonan parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid berkata, situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan MIC terhadap BN, terutama apabila terdapat dakwaan bahawa parti itu seolah-olah sudah berada di pihak lain namun dalam masa sama ingin kembali ke dalam gabungan sedia ada.
“Isu ini bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal kesetiaan. Kita tidak boleh menerima pendirian yang berubah-ubah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) ke-17 di Seberang Jaya, hari ini.
Beliau menegaskan, sekiranya MIC gagal membuat keputusan sendiri mengenai hala tuju politiknya, BN tidak teragak-agak untuk menentukan pendirian terhadap parti itu.
“Kita tidak mahu hari ini cakap satu perkara, esok bertukar pendirian, dan lusa pula lain,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan terus kekal dalam BN atau sebaliknya.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dilaporkan memaklumkan bahawa tiga usul utama termasuk cadangan keluar daripada BN telah dikemukakan dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk penelitian lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata BN sedang mempertimbangkan langkah menjenamakan semula perlembagaan gabungan itu bagi membolehkan parti-parti di bawah kategori ‘Friends of BN’ diterima sebagai parti teras.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang perubahan struktur hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada semua parti dan kepimpinan dalam BN.
“Kekangan perlembagaan sedia ada menyebabkan permohonan parti bersekutu untuk menjadi parti teras tidak dapat diputuskan buat masa ini,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, selepas lebih lima dekad berada di arena politik sejak penubuhannya pada 1974, BN perlu mempertimbangkan pembaharuan yang sesuai dengan realiti politik semasa.
“Perkara ini akan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada parti-parti bersekutu yang terus setia dan bersabar bersama BN.